
KUALA LUMPUR, 16 Julai – Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengesahkan PDRM FC tidak akan menyertai saingan Liga Super Malaysia musim 2026/2027 selepas kelab itu membuat keputusan untuk menarik diri.
- FIB selesai penilaian pematuhan terhadap empat kelab: Melaka FC, Star City FC, Kuala Lumpur City FC dan PDRM FC.
- PDRM FC mengesahkan menarik diri daripada saingan Liga Super musim 2026–2027.
- Melaka FC, Star City FC dan Kuala Lumpur City FC melengkapkan maklumat kewangan dan infrastruktur sebelum tarikh akhir.
- Keputusan dibuat berdasarkan penilaian menyeluruh selaras Peraturan Pelesenan Kelab MFL kitaran 2025–2026 dan Artikel 8.2.
Menurut Pengerusi Badan Bebas First Instance Body (FIB), Sheikh Mohamad Nasir Sheikh Mohd Shariff, penilaian pematuhan terhadap kelab yang sebelum ini diberikan Lesen Kebangsaan dengan “penggantungan ” telah selesai dilaksanakan melibatkan empat pasukan, iaitu Melaka FC, Star City FC, Kuala Lumpur City FC dan PDRM FC.
“FIB telah mengambil maklum keputusan PDRM FC untuk menarik diri daripada saingan Liga Super Malaysia musim 2026–2027,” menurutnya dalam satu kenyataan.
Beliau turut memaklumkan tiga kelab lain iaitu Melaka FC, Star City FC dan Kuala Lumpur City FC telah memenuhi keperluan ditetapkan selepas diberi tempoh sehingga 15 Julai 2026 untuk melengkapkan maklumat tambahan kewangan serta kriteria infrastruktur.
“Semua keputusan dibuat berdasarkan penilaian menyeluruh terhadap maklumat dan dokumentasi yang diterima selaras dengan Peraturan Pelesenan Kelab MFL kitaran 2025–2026,” ujarnya.
Pada 26 Mei lalu, FIB mengumumkan pemberian Lesen Kebangsaan dengan “penggantungan” kepada empat kelab terbabit berikutan isu pematuhan tertentu di bawah Artikel 8.2 Peraturan Pelesenan Kelab MFL.
Keputusan terbaharu itu menyaksikan hanya tiga kelab berjaya melengkapkan syarat ditetapkan, manakala PDRM FC sah tidak akan beraksi dalam Liga Super musim hadapan.