
KUALA LUMPUR, 17 Julai – Pembangunan akar umbi secara menyeluruh perlu dijadikan agenda utama bagi melahirkan lebih ramai pemain bola sepak wanita berkualiti yang mampu bersaing di peringkat Asia dan antarabangsa.
- Bangunkan pemain wanita secara sistematik dan berterusan untuk mengoptimumkan bakat sedia ada.
- Akar umbi dan sokongan keluarga melalui akademi penting untuk menarik serta memupuk minat kanak-kanak perempuan.
- Padankan pembangunan dengan sains sukan bagi pembentukan atlet mampan, bukan kejayaan jangka pendek.
- Perancangan jangka panjang, jurulatih berkelayakan, sistem pertandingan kompetitif dan komitmen semua pihak diperlukan untuk berdaya saing.
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Saidatul Nur Syuhadah Mohamed Sabadri berkata Malaysia memiliki ramai pemain wanita berbakat, namun potensi mereka perlu dibangunkan secara lebih sistematik dan berterusan.
“Pembangunan akar umbi penting untuk menarik dan memupuk minat kanak-kanak perempuan terhadap bola sepak. Sokongan daripada keluarga juga semakin positif apabila mereka menghantar anak-anak ke akademi bola sepak, sekali gus meningkatkan keyakinan untuk menjadikan sukan itu sebagai kerjaya profesional pada masa depan,” katanya.
Beliau berkata pembangunan bola sepak wanita juga perlu bergerak seiring dengan sains sukan bagi memastikan atlet dapat dibentuk secara mampan dan bukan hanya mengejar kejayaan dalam tempoh singkat.
Dr Saidatul Nur Syuhadah berkata, selain pembangunan di atas padang, pemain wanita perlu diberi pendedahan mengenai perancangan kerjaya, termasuk peluang melanjutkan pengajian serta membina kerjaya dalam industri sukan selepas bersara sebagai pemain.
Menurutnya, kejayaan negara seperti Jepun dan Vietnam membuktikan pembangunan bola sepak wanita memerlukan perancangan jangka panjang yang disokong jurulatih berkelayakan, sistem pertandingan yang kompetitif serta komitmen berterusan daripada semua pihak berkepentingan.
“Kita perlu bergerak sebagai satu pasukan. Persatuan, FAM dan jurulatih berkelayakan memainkan peranan penting dalam memberi motivasi kepada atlet untuk terus mengembangkan kerjaya mereka.
“Dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang, jika kita sanggup melabur dalam pembangunan bola sepak wanita, Malaysia berpotensi bersaing dengan pasukan terbaik Asia dan di pentas antarabangsa,” katanya ketika ditemui selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia di RTM.