
NEW YORK, 17 Julai – Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa mempercepat pelaksanaan Agenda Bandar Baharu (NUA) menjelang 2030.
- Tukar komitmen global kepada tindakan nyata bagi membina bandar inklusif, berdaya tahan dan mampan.
- Manfaatkan baki empat tahun untuk atasi krisis perumahan dan merapatkan jurang digital bandar.
- Perkukuh kerjasama serantau melalui Platform Tindakan Bandar Asia Pasifik untuk percepat pelaksanaan SDG dan pembiayaan infrastruktur hijau.
Langkah itu bagi memastikan komitmen global diterjemahkan kepada tindakan nyata dalam membina bandar yang lebih inklusif, berdaya tahan dan mampan.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata semakan pertengahan penggal NUA tahun ini penting bagi membolehkan negara anggota beralih daripada penilaian kemajuan kepada pelaksanaan tindakan yang memberi impak kepada jutaan penduduk bandar.
“Baki empat tahun sebelum 2030 perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk menangani krisis perumahan global dan merapatkan jurang digital bandar.
“Usaha juga perlu diperkukuh bagi meningkatkan daya tahan terhadap perubahan iklim serta memastikan tiada komuniti tercicir dalam agenda pembangunan bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pembukaan pada Mesyuarat Peringkat Tinggi Semakan Pertengahan Penggal NUA di Ibu Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di sini pada Khamis.
Nga yang juga Presiden Perhimpunan Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat) menegaskan komitmen Malaysia untuk terus menerajui pembangunan bandar mampan di peringkat global menerusi kerangka Ekonomi MADANI.
Beliau berkata Malaysia bersama rakan serantau terus memperjuangkan Platform Tindakan Bandar Asia Pasifik (AP-UAP) sebagai mekanisme untuk mempercepat pelaksanaan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
Platform itu turut bertujuan memperkukuh perkongsian pengetahuan rentas sempadan dan memperluas pembiayaan infrastruktur hijau di rantau Asia Pasifik.
“Malaysia telah merekodkan lebih 500 juta kaki persegi bangunan berindeks hijau dan jumlah itu dijangka terus meningkat sebelum 2030,” katanya.