Majikan berstatus MyPR antara tujuh ditahan disyaki urus pekerja asing tanpa kebenaran

Tujuh ditahan terbabit sindiket bekal pekerja asing tanpa kebenaran.

PUTRAJAYA, 17 Julai – Tujuh individu termasuk seorang majikan berstatus pemastautin tetap (MyPR) ditahan kerana disyaki terbabit dalam kegiatan mengurus dan membekalkan pekerja asing tanpa kebenaran dalam Op Khas yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Semenyih, Selangor, Rabu lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi hasil risikan selama sebulan membawa kepada serbuan di premis perniagaan dan premis makanan.
  • Penahanan melibatkan lima lelaki dan dua wanita warga asing berusia antara 27 hingga 57 tahun.
  • Sita barang termasuk 31 pasport Bangladesh, satu pasport Thailand, dokumen SSM dan wang tunai RM48,524.
  • Sindiket mengenakan RM4,000 setiap urusan pengurusan atau pembaharuan pas, kes disiasat mengikut Akta Pasport dan Akta Imigresen.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi hasil risikan selama sebulan itu dijalankan di sebuah premis perniagaan dan premis makanan, membawa kepada penahanan lima lelaki dan dua wanita warga asing berusia antara 27 hingga 57 tahun.

Siasatan awal mendapati majikan warga Bangladesh itu memiliki MyPR, manakala seorang lagi warga Bangladesh memiliki Pas Pelajar dan seorang wanita Thailand memegang Pas Lawatan Kerja Sementara sebagai pekerja restoran.

Baki warga asing yang ditahan tidak memiliki pas atau dokumen perjalanan yang sah.

Turut disita 31 pasport Bangladesh, satu pasport Thailand, dokumen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) serta wang tunai berjumlah RM48,524.

Beliau berkata, siasatan mendapati sindiket itu mengurus dan membekalkan pekerja asing tanpa kebenaran dengan menyasarkan majikan tempatan di Lembah Klang.

Sindiket itu turut mengenakan bayaran RM4,000 bagi setiap urusan pengurusan dan pembaharuan pas.

Kes disiasat mengikut Akta Pasport 1966 dan Akta Imigresen 1959/63.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.