Lelaki ditahan, 3.65 tan beras seludup dirampas di Pasir Mas

Suspek, 27, yang ditahan menerusi Op Taring Wawasan Kelantan di Pasir Mas, Kelantan

PASIR MAS, 17 Julai- Seorang lelaki berusia 27 tahun ditahan manakala 3.65 tan beras putih dipercayai diseludup dari Thailand dirampas dalam Op Taring Wawasan Kelantan di Kampung Seberang Merbau, di sini, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemeriksaan stor oleh Cawangan Risik Batalion 9 PGA menemui 73 kampit beras 50 kilogram setiap satu, disyaki beras seludup.
  • Beras dipercayai diseludup dari Thailand melalui laluan tidak sah sepanjang Sungai Golok, kemudian diangkut menggunakan pacuan empat roda atau lori kecil.
  • Stor dipercayai digunakan untuk simpanan dan pemprosesan semula, beras dibungkus semula ke beg jumbo kira-kira 1,000 kilogram untuk pengedaran.

Komander Briged Tenggara PGA, SAC Ahmad Radzi Hussain berkata rampasan itu dibuat selepas Cawangan Risik Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuala Terengganu menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah stor di lokasi berkenaan kira-kira pukul 3.00 petang.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati stor terbabit menyimpan 73 kampit beras putih seberat 50 kilogram setiap satu yang disyaki beras seludup dari Thailand.

“Pasukan operasi menahan  suspek yang berada di hadapan stor berkenaan sebelum kesemua beras tersebut dirampas dan diserahkan kepada pihak Kawal Selia Padi dan Beras Negeri Kelantan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hasil risikan mendapati beras berkenaan dipercayai dibawa masuk dari Thailand melalui laluan tidak sah di sepanjang Sungai Golok sebelum diangkut menggunakan kenderaan pacuan empat roda atau lori kecil ke stor simpanan sementara di sekitar kawasan Repek, di sini.

Beras putih yang disyaki diseludup dari Thailand ditemukan dalam sebuah stor di i Kampung Seberang Merbau, Pasir Mas

Katanya, siasatan lanjut mendapati stor terbabit dipercayai dijadikan lokasi penyimpanan dan pemprosesan semula beras seludup sebelum diedarkan ke beberapa lokasi sekitar Kelantan dan negeri-negeri lain.

“Beras yang diterima dipercayai akan dibungkus semula ke dalam beg pukal (jumbo bag) seberat kira-kira 1,000 kilogram bagi memudahkan urusan pengangkutan serta mengaburi sumber asal bekalan,” katanya.

SAC Ahmad berkata aktiviti itu dipercayai dijalankan secara berterusan dengan menggunakan stor yang tersorok daripada pandangan umum bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.

Kesemua rampasan dianggarkan bernilai RM14,600 dan kes disiasat mengikut Seksyen 20 Akta Kawal Selia Padi dan Beras Negara 1994.

Beliau berkata pemeriksaan dan pemantauan akan terus dipertingkatkan bagi membanteras aktiviti penyeludupan beras dari negara jiran serta mengurangkan ketirisan hasil negara dan kerugian kepada industri padi dan beras tempatan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.