
NEW YORK, 17 Julai – Perlawanan akhir Piala Dunia Isnin ini tidak hanya tertumpu kepada pertembungan dua bintang iaitu Lamini Yamal dan Lionel Messi semata-mata.
- Pertemuan semula pengurus Sepanyol Luis de la Fuente dengan bekas anak muridnya Lionel Scaloni dalam perlawanan akhir.
- Scaloni belajar di akademi RFEF Las Rozas pada 2017, ujian taktikal besar bagi De la Fuente yang akan menentangnya.
- De la Fuente beri pujian kepada Scaloni, menyifatkannya sebagai pengendali bertaraf dunia dan mahu berdepan Argentina atas semangat persahabatan.
- Sepanyol buru gelaran kedua Piala Dunia; Argentina mahu menjadi negara pertama pertahankan kejuaraan sejak Brazil 1962.
Pertemuan antara Sepanyol dan Argentina turut mempertemukan semula pengurus Sepanyol, Luis de la Fuente dan bekas anak muridnya, Lionel Scaloni yang kini membimbing skuad Argentina.
Pertemuan epik itu bukan sekadar perlawanan merebut trofi agung bola sepak, malah bakal menguji kemampuan taktikal De la Fuente, 65, menentang Scaloni, 48, yang pernah menimba ilmu di bawah bimbingannya di akademi kejurulatihan Persatuan Bola Sepak Sepanyol (RFEF) di Las Rozas pada 2017.
De la Fuente sebelum ini secara terbuka menyatakan hasratnya untuk berdepan Argentina, satu kenyataan yang didorong oleh ikatan persahabatan yang kuat serta rasa hormat yang mendalam terhadap Scaloni, yang kini dilabelnya sebagai seorang pengendali bertaraf dunia.
Sementara itu, Scaloni yang pernah beraksi di Sepanyol bersama kelab Deportivo La Coruna, Racing Santander dan Mallorca, turut menyifatkan De la Fuente sebagai watak penting yang banyak membantunya ketika mula menceburi bidang pengurusan selepas bersara sebagai pemain.
Misi memburu kejuaraan kali ini menyaksikan Sepanyol bertekad menjulang trofi Piala Dunia kedua mereka selepas kali terakhir memenanginya di Afrika Selatan 16 tahun lalu, manakala Argentina berpeluang menjadi negara pertama mempertahankan gelaran itu sejak kali terakhir dilakukan oleh Brazil pada 1962.
Sepanyol melangkah ke perlawanan akhir selepas menundukkan Perancis 2-0 pada Selasa, manakala Argentina bangkit daripada ketinggalan untuk mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas England pada hari berikutnya. – REUTERS