Anugerah MSSM catat penyertaan penuh 16 JPN

Foto RTM

BANGI, 16 Julai – Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 2026 mencipta sejarah tersendiri apabila buat pertama kali berjaya menghimpunkan penyertaan kesemua 16 Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), termasuk Wilayah Persekutuan Labuan.

RINGKASAN BERITA AI
  • KPM bersama JPN memperkasa pembangunan sukan sekolah inklusif di seluruh negara.
  • Faktor kewangan dan logistik sebelum ini menyekat penyertaan serta penganjuran konsisten di beberapa wilayah.
  • Harapan agar kerjasama strategik antara kementerian dan rakan industri diperkukuh demi sukan sekolah mampan dan berdaya saing.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata pencapaian itu mencerminkan komitmen berterusan Kementerian Pendidikan (KPM) bersama JPN dalam memperkasa pembangunan sukan sekolah secara inklusif di seluruh negara.

Menurut beliau, sebelum ini kekangan kewangan serta kos logistik menjadi antara faktor utama yang menghadkan penyertaan penuh negeri-negeri seperti Sabah, Sarawak dan Labuan, selain menyukarkan penganjuran secara konsisten setiap tahun.

“Dahulu, faktor kewangan dan logistik menghadkan penyertaan serta penganjuran di beberapa wilayah. Pelaksanaan secara giliran juga menyebabkan ada kawasan kurang mendapat peluang.

“Namun tahun ini, hasil kerjasama erat antara KPM, JPN dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), kita berjaya memastikan kesemua 16 JPN terlibat dalam MSSM 2026,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Anugerah Sukan KPM-MSSM-MILO 2025, di sini, hari ini.

Dalam majlis sama, seramai 13 penerima anugerah individu termasuk juara keseluruhan MSSM turut diraikan sebagai penghargaan terhadap pencapaian cemerlang mereka.

Mengulas lanjut, Wong berharap kerjasama strategik antara kementerian dan rakan industri akan terus diperkukuh bagi memastikan pembangunan sukan sekolah kekal mampan, inklusif dan berdaya saing pada masa hadapan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.