Jersi Pele Piala Dunia 1958 dilelong AS$4.9 juta

Jersi yang dipakai mendiang Pele pada perlawanan akhir Piala Dunia 1958 /REUTERS

NEW YORK, 17 Julai – Sehelai jersi yang dipakai oleh legenda bola sepak dunia, Pele, ketika perlawanan akhir Piala Dunia 1958 dilelong pada harga AS$4.9 juta (kira-kira RM21.5 juta) dalam satu acara lelongan oleh syarikat Sotheby’s di sini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jersi biru nombor 10 yang dipakai Pele ketika berusia 17 tahun dalam perlawanan akhir Piala Dunia 1958.
  • Brazil menewaskan Sweden 5-2; Pele menjaringkan dua gol dan kekal pemain termuda menjaringkan gol di final.
  • Jersi itu menjadi memorabilia Pele paling mahal dan jersi bola sepak kedua termahal di dunia.

Nilai bidaan tersebut sekali gus merekodkan jersi berkenaan sebagai barangan memorabilia Pele paling mahal pernah dijual dalam sejarah lelongan, selain menjadi jersi bola sepak kedua termahal di dunia.

Jersi ikonik berwarna biru dengan nombor 10 itu dipakai oleh pemilik nama sebenar Edson Arantes do Nascimento ketika berusia 17 tahun dalam aksi akhir menentang tuan rumah, Sweden, di Stadium Rasunda, Stockholm pada 29 Jun 1958.

Dalam perlawanan tersebut, Brazil berjaya menjulang trofi Piala Dunia sulung mereka selepas menewaskan Sweden 5-2, menyaksikan Pele menjaringkan dua gol sekali gus memegang rekod sebagai pemain termuda meledak gol di pentas akhir Piala Dunia yang bertahan sehingga ke hari ini.

Naib Presiden Strategi dan Pembangunan Sukan Sotheby’s, Brendan Hawkes berkata, jersi berkenaan mempunyai nilai sejarah yang amat tinggi kerana ia dipakai ketika mendiang Pele mula memperkenalkan bakat luar biasanya kepada peminat sukan dunia.

Sotheby’s mengesahkan jersi berkenaan menerima 10 bidaan daripada lebih lima pembida sebelum disahkan terjual pada harga AS$4.9 juta sempena acara Minggu Sukan Sotheby’s di New York.

Rekod jersi bola sepak termahal dunia ketika ini masih dipegang oleh jersi “Hand of God” milik legenda Argentina, Diego Maradona, yang dilelong pada harga AS$9.3 juta oleh Sotheby’s pada tahun 2022.

Sebelum rekod baharu ini tercipta, barangan berkaitan Pele yang paling mahal pernah dilelong ialah kad rookie beliau yang terjual pada harga AS$976,000 (kira-kira RM4.3 juta) pada Jun 2026, manakala jersi biru yang sama sebelum ini pernah dijual pada harga AS$105,600 (kira-kira RM465,000) pada tahun 2004.

Acara lelongan bertemakan “The Beautiful Game” oleh Sotheby’s itu diadakan sempena penganjuran kejohanan Piala Dunia FIFA 2026 yang sedang berlangsung. – REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.