Perlawanan akhir Piala Dunia 2026: Cuaca jerebu cetus kebimbangan

Foto REUTERS

NEW JERSEY, 17 Julai – Ruang udara bandar raya New York yang diselubungi jerebu pada Khamis mencetuskan kebimbangan mengenai tahap pencemaran udara tinggi menjelang aksi akhir Piala Dunia antara Argentina dan Sepanyol di Stadium New Jersey, Ahad ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Amaran Kualiti Udara dikeluarkan susulan asap kebakaran hutan dari Kanada.
  • Ramalan hujan Sabtu dijangka mengurangkan jerebu dan memperbaiki kualiti udara sebelum perlawanan.
  • Dr Vin Gupta memberi amaran kesihatan pemain dan penonton berisiko jika kualiti udara tetap buruk.

Amaran kualiti udara telah dikeluarkan di bandar raya berkenaan susulan asap akibat kebakaran hutan di Kanada dikesan bergerak ke arah selatan menuju ke wilayah New York.

Bagaimanapun, peramal cuaca menjangkakan hujan pada Sabtu ini mampu membantu mengurangkan jerebu sekali gus memperbaik kualiti udara menjelang hari perlawanan.

Perlawanan itu bakal menyaksikan Sepanyol memburu gelaran dunia kedua selepas kali terakhir memenanginya di Afrika Selatan pada 2010, manakala Argentina berusaha mempertahankan kejuaraan bagi menyamai rekod tradisi Brazil pada 1962.

Sementara itu, beberapa bekas bintang bola sepak dunia menyifatkan cuaca jerebu yang menyelubungi bandar New York tidak akan menjejaskan kehangatan perlawanan akhir tersebut.

Bekas bintang Jerman, Lucas Podolski menegaskan bahawa keadaan itu tidak akan memberi impak besar kepada corak permainan memandangkan kedua-dua pasukan terpaksa berdepan kekangan cuaca yang sama demi memburu gelaran juara dunia.

“Anda hanya perlu turun ke padang dan berjuang habis-habisan untuk merebut gelaran ini,” katanya.

Pandangan sama turut dikongsi oleh bekas bintang Argentina, Javier Mascherano yang mempunyai pengalaman luas beraksi dan mengendali pasukan di Amerika Syarikat, dengan menyifatkan fenomena itu sebagai sesuatu yang pelik namun tetap yakin ia tidak akan mengganggu perjalanan perlawanan.

Bagaimanapun, pakar pulmonologi yang juga ahli lembaga pengarah Persatuan Paru-Paru Amerika, Dr Vin Gupta memberi amaran bahawa kesihatan pemain dan penonton di stadium berisiko terjejas sekiranya tiada perubahan pada kualiti udara menjelang Ahed ini.

Setakat ini, impak sebenar jerebu terhadap kesihatan pemain masih belum dapat dipastikan, namun penganjur menaruh harapan tinggi agar ramalan hujan pada Sabtu mampu memulihkan semula kualiti udara di New York. – REUTERS.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.