fb fb fb fb fb

KMJG 2025 Kelantan disambut meriah, pamer semangat patriotik

Foto BERNAMA

TANAH MERAH, 10 Ogos - Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2025 Peringkat Negeri Kelantan berlangsung meriah dan penuh semangat patriotik selepas menerima serahan Jalur Gemilang daripada konvoi dari Negeri Perak, semalam di sempadan Gerik - Jeli, Kelantan.

Pengarah Jabatan Penerangan Negeri (JAPEN) Kelantan Muhd Nor Aswadi Md. Nor berkata, konvoi KMJG tahun ini disertai oleh pelbagai agensi kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan yang bermula di Kolej Komuniti Jeli, Bukit Bunga, Jeli, pagi tadi.

Beliau berkata, seramai 68 peserta konvoi telah menyertai konvoi KMJG 2025 peringkat Negeri Kelantan yang terdiri daripada 36 buah kenderaan dari pelbagai agensi, 32 buah motosikal berkuasa tinggi dari Kelab Harley Davidson Negeri Kelantan.

Katanya, angka 68 merupakan simbolik kepada ulang tahun kemerdekaan ke-68 negara pada tahun ini.

"Alhamdulillah konvoi kita jumlahnya 68 selaras dengan 68 tahun kita merdeka. Program ini mendapat kerjasama yang sangat baik daripada jabatan-jabatan kerajaan termasuklah pihak swasta, pertubuhan bukan kerajaan, termasuklah konvoi istimewa motosikal berkuasa tinggi daripada Kelab Harley Davidson Negeri Kelantan dan saya berterima kasih bagi pihak Jabatan Penerangan Negeri Kelantan kepada semua pihak", katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas Majlis Perasmian KMJG di Sekolah Menengah Dato’ Mahmud Paduka Raja, Tanah Merah, hari ini.

Beliau berkata, Konvoi KMJG Negeri Kelantan hari ini melibatkan tiga lokasi bermula di Kolej Komuniti Jeli, Bukit Bunga, Jeli; Dewan Terbuka SMK Dato’ Mahmud Paduka Raja 1, Tanah Merah; Dataran Bandar Baru Pasir Mas.

Katanya, esok konvoi KMJG akan memulakan perjalanan di Dewan Jubli Perak Politeknik Kota Bharu menuju Perkarangan SMK Hamzah 2, Machang sebelum penyerahan Jalur Gemilang kepada konvoi KMJG di sempadan Terengganu.

Menurutnya, setiap lokasi persinggahan akan dilaksanakan pelbagai program termasuk penyerahan Jalur Gemilang kepada ketua jabatan, nyanyian lagu patriotik, aktiviti pemasangan bendera pada kenderaan, perarakan pakaian tradisional Melayu serta deklamasi sajak bagi menyemarakkan semangat patriotik dalam diri rakyat Kelantan.

Terdahulu, pelepasan Konvoi KMJG 2025 telah disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dataran Tanjung Emas, Muar Johor pada 27 Julai lalu dan konvoi itu telah meneruskan perjalanan dan serahan Jalur Gemilang ke Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Perak sebelum Kelantan semalam.

ROSLINA BINTI DIN