fb fb fb fb fb

KMJG 2025 julung kali libat kumpulan permotoran negeri, semarak semangat patriotik

Foto Facebook Jabatan Penerangan Sabah

KOTA KINABALU, 7 Ogos -Buat julung kalinya Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2025 membuka ruang kepada pelbagai kumpulan permotoran di setiap negeri untuk menyertai konvoi.

Ia merupakan salah satu usaha dalam memupuk dan memperkukuh semangat patriotik dalam kalangan masyarakat.

Di Sabah, kembara melibatkan 20 kenderaan membawa 60 peserta daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan.

Peserta kembara akan melakukan perjalanan sejauh 2,500 kilometer selama 20 hari merangkumi 75 lokasi singgahan di seluruh negeri.

Program tahunan Jabatan Penerangan Sabah itu membawa misi untuk memastikan masyarakat terlibat secara langsung dalam sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah tahun ini.

Penampang merupakan daerah pertama dikunjungi sebelum kembara itu berakhir di Tuaran pada 23 Ogos nanti.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick ketika merasmikan Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2025 peringkat Sabah menggesa rakyat Malaysia, khususnya anak Sabah supaya mengisi makna kemerdekaan negara dengan mempertahan perpaduan, kesejahteraan dan keamanan yang dikecapi kini.

Beliau berkata pendekatan itu penting demi kebaikan sejagat kerana hanya dengan keharmonian dan kestabilan, pembangunan negara lebih mampan dapat dilaksana selain kedaulatan negara terus dipertahan.

Program seumpama itu diharap dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai usaha menyemarakkan semangat patriotik dan cintakan negara dalam kalangan rakyat.

Beliau turut mengajak rakyat Sabah untuk bersama-sama terlibat dalam inisiatif Satu Rumah, Satu Jalur Gemilang dengan mengibarkan sekurang-kurangnya satu bendera di kediaman masing-masing.

TETITIA YUSOFF