
KUALA LUMPUR, 14 April – Pelaksanaan projek rakyat tetap diteruskan meskipun negara berdepan cabaran kenaikan kos bahan binaan susulan ketidaktentuan geopolitik global.
- KKR meneliti pelarasan pelaksanaan projek secara bersasar melalui perubahan skop, lanjutan masa atau penjadualan semula bagi projek terkesan oleh gangguan rantaian bekalan.
- Isu aliran tunai kontraktor diberi perhatian; agensi KKR diarahkan mempercepat tuntutan, pengesahan kerja serta bayaran interim dan akhir tanpa kelewatan tidak munasabah.
- KKR memperluas peluang kepada kontraktor tempatan terutama kontraktor kecil dan sederhana dalam penyenggaraan, baik pulih dan projek berskala sesuai.
- Galakan penggunaan IBS, BIM, prefabrikasi, pemantauan digital dan pengoptimuman reka bentuk untuk memendekkan pembinaan, kurangkan pembaziran dan kebergantungan pada kos minyak.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pendekatan yang lebih realistik, responsif serta berpandukan keadaan sebenar di tapak diambil bagi memastikan keberkesanan projek dan manfaat optimum kepada rakyat.
”Kementerian Kerja Raya (KKR) akan meneliti secara bersasar keperluan pelarasan pelaksanaan projek melalui mekanisme sedia ada seperti perubahan skop kerja, pertimbangan lanjutan masa atau penjadualan semula kerja bagi projek yang benar-benar terkesan oleh gangguan rantaian bekalan,” katanya.
Beliau bekata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan KKR, di sini hari ini.
Selain itu, isu aliran tunai dalam kalangan kontraktor turut diberi perhatian serius.

Beliau menggesa semua agensi di bawah KKR mengutamakan pemprosesan tuntutan yang lengkap, mempercepat proses pengesahan kerja, serta memastikan bayaran interim dan bayaran akhir dibuat tanpa kelewatan yang tidak munasabah.
Menurutnya, langkah mempercepatkan bayaran itu bukan sahaja membantu kontraktor mengekalkan operasi mereka, malah turut menyokong kestabilan keseluruhan rantaian pekerjaan dalam sektor pembinaan.
KKR juga terus memperluas peluang kepada kontraktor tempatan khususnya kontraktor kecil dan sederhana dalam kerja penyenggaraan, baik pulih
dan projek berskala sesuai.
Ia bagi memastikan mereka terus mempunyai aliran kerja dan tidak terpinggir ketika kos operasi meningkat.
Datuk Seri Alexander Nanta berkata, selari dengan semangat transformasi KKR, kebergantungan sektor binaan kepada kos minyak juga harus dikurangkan melalui kaedah yang lebih produktif dan berteknologi tinggi.
Beliau berkata, penggunaan Sistem Binaan Berindustri (IBS), Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM), prefabrikasi, pemantauan digital tapak serta pengoptimuman reka bentuk perlu dipergiat.
Ini supaya tempoh pembinaan dapat dipendekkan, pembaziran bahan dapat dikurangkan dan kebergantungan kepada logistik berulang dapat diminimumkan.