
KUALA LUMPUR, 14 Ogos – Seramai kira-kira 1,700 klien berdepan masalah penyalahgunaan dadah kini sedang menjalani rawatan menerusi Program Rawatan dan Pemulihan Secara Sukarela yang dilaksanakan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
- Program Rawatan dan Pemulihan sukarela membolehkan individu hadir secara walk-in untuk mendapatkan bantuan.
- Tempoh rawatan ditetapkan antara sebulan hingga dua tahun bergantung tahap keseriusan penyalahgunaan.
- AADK menyediakan khidmat nasihat dan rawatan bagi menyokong proses pemulihan.
- Peningkatan pengambilan dadah sintetik sekitar 70 hingga 80 peratus menjadi cabaran utama.
Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh berkata, program berkenaan merupakan pendekatan pemulihan yang memberi ruang kepada mereka untuk tampil mendapatkan bantuan melalui kaedah ‘walk-in’ tanpa perlu menunggu keadaan menjadi lebih serius.
“Individu berkenaan boleh hadir secara walk-in untuk mendapatkan khidmat nasihat dan rawatan, dengan tempoh rawatan ditetapkan antara sebulan hingga dua tahun, bergantung kepada tahap keseriusan penyalahgunaan dadah,” katanya selepas kunjungan hormat AADK ke RTM di Kuala Lumpur hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata peningkatan pengambilan dadah sintetik menjadi antara cabaran utama dalam usaha rawatan dan pemulihan AADK ketika ini.
“Sekarang ini sudah hampir 70 hingga 80 peratus yang mengambil dadah sintetik.
“Jadi ini cabaran kita bagaimana untuk memberi rawatan kepada mereka,” katanya.