
TEMERLOH, 14 Ogos – Pemandu dan penumpang sebuah kereta disyaki rentung selepas dihempap sebuah lori tangki minyak sebelum terbakar di Kilometer 9 Jalan Temerloh-Triang, Temerloh, petang tadi.
- Lori membawa 32,000 liter petrol dan diesel dari Seremban ke Temerloh.
- Kejadian kira-kira pukul 4.30 petang; lori hilang kawalan, merempuh kenderaan, terbalik dan terbakar.
- Pemandu lori, lelaki 37 tahun, selamat dengan kecederaan ringan.
- Mangsa kereta dipercayai gagal keluar; butiran belum disahkan kerana kenderaan remuk dan pemadaman mengambil masa.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 4.30 petang ketika lori tangki yang membawa 32,000 liter petrol dan diesel itu dalam perjalanan dari Seremban ke Temerloh.
“Setibanya di lokasi kejadian, lori terbabit hilang kawalan sebelum merempuh kenderaan berkenaan dan terbalik lalu menghempapnya sebelum terbakar.
“Pemandu lori lelaki berusia 37 tahun, berjaya menyelamatkan diri dan mengalami kecederaan ringan.
“Pemandu dan penumpang kereta dipercayai gagal menyelamatkan diri dan disyaki rentung,” katanya menerusi kenyataan.
Menurutnya, jumlah serta butiran mangsa masih belum dapat disahkan berikutan keadaan kenderaan yang remuk dan proses pemadaman mengambil masa susulan muatan petrol serta diesel.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pemandu lori tangki akan ditahan bagi membantu siasatan.