Bomba tingkat pemantauan susulan limpahan air di Puncak Alam

Foto JBPM

SHAH ALAM, 14 Ogos – Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bestari Jaya meningkatkan pemantauan di sekitar Puncak Alam susulan limpahan air setinggi kira-kira satu kaki di Persiaran Puncak Alam 6, petang ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi pemantauan bermula jam 2 petang melibatkan enam anggota dan sebuah jentera FRT, membabitkan tiga lokasi strategik.
  • Pemeriksaan di Tasik Taman Alam Suria dan sistem longkang Taman Cakera Purnama mendapati paras air masih normal tanpa limpahan ke kediaman.
  • Tiada pemindahan penduduk dilakukan setakat ini.
  • Pengguna media sosial kongsi gambar banjir, lapor air naik pantas; penduduk terpaksa buat pusingan U kerana laluan terhalang.

Dalam satu kenyataan, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, operasi pemantauan bermula jam 2 petang dengan kekuatan enam anggota bersama sebuah jentera FRT, membabitkan tiga lokasi strategik.

“Pemeriksaan di kawasan Tasik Taman Alam Suria dan sistem longkang di Taman Cakera Purnama, Puncak Alam mendapati paras air masih normal tanpa sebarang limpahan ke kawasan kediaman.

Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut di Persiaran Puncak Alam 6 pada jam 3.45 petang mendapati air bertakung setinggi kira-kira satu kaki di atas permukaan jalan,” kata kenyataan itu.

Tambah beliau, tiada pemindahan penduduk dilakukan setakat ini.

Terdahulu, beberapa kawasan di Puncak Alam dinaiki air selepas hujan lebat kira-kira sejam pada tengah hari tadi.

Pengguna media sosial berkongsi gambar situasi banjir semasa menyatakan, air naik begitu pantas dan perkara tersebut tidak pernah berlaku sebelum ini.

Penduduk setempat juga terpaksa membuat pusingan U kerana terdapat laluan yang terhalang akibat kenaikan paras air secara mendadak.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.