
KUCHING, 14 Ogos – Kementerian Kerja Raya (KKR) akan memohon tambahan peruntukan bagi memperluas pemasangan lampu jalan jenis diod pemancar cahaya (LED) berkuasa solar di lokasi berisiko.
- KKR gunakan sistem solar berdiri sendiri dan LED untuk lokasi jauh tanpa sambungan kepada grid.
- RAMS mengenal pasti 99 lokasi sering berlaku kemalangan maut (blackspot) di Jalan Persekutuan seluruh negara.
- Purata hampir 18 nyawa terkorban setiap hari akibat kemalangan jalan raya di Malaysia sangat membimbangkan.
- Integrasi data iPRS dengan RAMS membolehkan perancangan dan pelaksanaan intervensi keselamatan jalan raya lebih tepat dan pantas.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata pemasangan itu turut memberi tumpuan kepada lokasi yang memerlukan pencahayaan tambahan.
“Di lokasi-lokasi yang jauh dan mungkin tidak dapat disambungkan kepada sistem grid, kita banyak menggunakan solar ‘standalone’ dan LED.
“Jika kita menggunakan lampu LED, lebih terang. Sebab itu, dalam belanjawan tahunan, kita memohon peruntukan tambahan supaya kita dapat memasang lebih banyak lampu LED solar,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutupan Kursus Peluasan Sistem Pengurusan Kemalangan Jalan Raya (RAMS) dan Pelaporan Data Kemalangan Jalan Raya di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata penggunaan sistem itu membolehkan KKR mengenal pasti 99 lokasi kerap berlaku kemalangan maut atau blackspot di Jalan Persekutuan seluruh negara.
RAMS yang dibangunkan KKR berasaskan inisiatif MYJalan berperanan mengurus, menganalisis dan memaparkan data kemalangan jalan raya secara sistematik, termasuk mengenal pasti lokasi kerap berlaku kemalangan.
“Purata hampir 18 nyawa terkorban setiap hari akibat kemalangan jalan raya di Malaysia adalah angka yang amat membimbangkan,” katanya lagi.
Tambahnya, melalui integrasi data kemalangan daripada Sistem Laporan Polis Bersepadu (iPRS) di bawah seliaan pihak polis, RAMS membolehkan perancangan dan pelaksanaan intervensi keselamatan jalan raya dibuat dengan lebih tepat dan pantas.