fb fb fb fb fb

Kilang pembuatan kenderaan tenaga baharu bakal dibangunkan di Chembong

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin pada Majlis Pembukaan Careplus Mall di sini, hari ini..

SEREMBAN, 14 Disember- Sebuah kilang pembuatan dan pemasangan kenderaan tenaga baharu (NEV) bakal dibangunkan di kawasan perindustrian Chembong, Rembau.

Pembinaan kilang tersebut melibatkan sebidang tanah berkeluasan 74 ekar akan dilakukan secara berperingkat bermula tahun depan sehingga 2028.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata projek yang melibatkan agensi swasta itu dilihat bakal merancakkan ekonomi negeri ini terutamanya dalam membuka peluang pekerjaan kepada 400 anak tempatan dalam bidang kemahiran.

"Ini merupakan perkara yang saya amat alu -alukan kerana Negeri Sembilan adalah negeri pertama di negara ini dalam pemasangan EV dengan terbinanya kilang tersebut saya juga berharap masyarakat dapat menerima kenderaan ini sebagai satu kenderaan masa hadapan yang baik. Inilah teknologi baharu perlu diterokai dari semasa ke semasa " katanya.

Aminuddin berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pembukaan Careplus Mall di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata pihaknya mengalu-alu kan pembangunan Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura yang dibatalkan sebelum ini untuk diusahakan semula.

Ujarnya, pelaksanaan semula projek berkenaan pastinya memberikan impak ekonomi yang baik buat negeri itu.

"Ia merupakan satu perkara yang baik bagi memastikan bahawa rakyat mendapat kemudahan pengangkutan awam yang lebih baik, yang lebih laju dan kita berharap ini akan memudahkan hubungan di antara kedua- dua negara dan pastinya akan memberi impak ekonomi yang baik untuk Negeri Sembilan dan kerana itu kita mengalu- alukan dan kita memang tidak membatalkan tapak atau laluan sedia ada," katanya.

Terdahulu, media melaporkan bahawa Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar bertitah mahu projek itu dihidupkan semula.

Berdasarkan perancangan sebelum ini landasan di Negeri Sembilan membabitkan laluan sepanjang 52 kilometer manakala stesen HSR Seremban dicadang dibina di Labu, Nilai.

ZEHRA BINTI ZAMBRI