
KUALA LUMPUR, 21 Januari – Usaha promosi pelancongan negara, khususnya di pasaran berbelanja tinggi seperti China, Singapura, dan Eropah, akan diperhebatkan lagi bagi mengekalkan momentum peningkatan ketibaan pelancong ke Malaysia.
- Promosi pelancongan negara akan diperhebatkan, fokus pada pasaran berbelanja tinggi seperti China, Singapura, ASEAN dan Eropah.
- Pencapaian ketibaan pelancong melepasi sasaran, memerlukan usaha promosi agresif dan berterusan di peringkat antarabangsa.
- Misi promosi luar negara dianggap penting untuk tingkatkan ketibaan pelancong dan mempromosikan bandar peringkat kedua di China.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, berkata langkah itu penting susulan pencapaian semasa industri pelancongan negara yang telah melepasi sasaran awal ditetapkan.
“Anggaran kita untuk 2026 bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) sepatutnya 36.5 juta sahaja, tetapi pada tahun 2024 kita sudah mencapai 38 juta, dan pada akhir Disember 2025 kita sudah mencapai 42 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Jalinan Kerjasama Strategik Tourism Malaysia dan Oriental Kopi, Cita Rasa Malaysia bersempena TMM2026, di sini.
Tambah beliau, pencapaian tersebut memerlukan usaha promosi yang lebih agresif dan berterusan di peringkat antarabangsa.
“Di Tourism Malaysia, kita mesti bekerja lebih kuat untuk mempromosikan Malaysia di seluruh dunia, terutama sekali di negara-negara berbelanja tinggi. Kita perlu memberi tumpuan kepada pasaran seperti China, Singapura, negara ASEAN serta negara Eropah,” jelasnya.
Menurut Datuk Seri Tiong, promosi yang dilaksanakan sebelum ini telah menyumbang pulangan besar kepada negara, meskipun terdapat kritikan terhadap lawatan kerja ke luar negara.
Dalam pada itu, beliau menafikan dakwaan pihak tertentu mengenai misi promosi luar negara, sebaliknya menyifatkan tindakan tersebut sebagai langkah penting bagi meningkatkan ketibaan pelancong.
“Tahun yang lepas, kita berjaya membawa RM291 bilion hasil untuk negara kita. Ada pihak membuat aduan dan mengatakan saya kerap ke luar negara untuk makan angin. Jika saya berdiam diri, bagaimana ketibaan pelancong boleh meningkat?” katanya.
Beliau turut menegaskan kepentingan mempromosikan Malaysia di bandar-bandar peringkat kedua, khususnya di China, kerana masih ramai pelancong luar hanya mengenali Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu.