fb fb fb fb fb

Kesiapsiagaan bencana dipertingkat menjelang ASEAN 2025 dan TMM2026- Dr Zaliha

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 24 Oktober-Kesiapsiagaan Malaysia dalam menghadapi bencana, khususnya banjir kilat, diberi keutamaan ketika negara bakal menyandang kepengerusian ASEAN 2025 dan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) komited untuk meneruskan kerja-kerja penyelenggaraan sistem saliran dan penambahbaikan sistem 'On-Site Detention' (OSD) serantau bawah tanah dalam usaha menangani masalah banjir kilat.

Dr. Zaliha turut menjelaskan bahawa DBKL bertanggungjawab bukan sahaja dalam memastikan pengindahan dan kesejahteraan ibu kota, tetapi juga melalui kerjasama bersepadu dengan semua agensi kerajaan yang terlibat.

“Sebagai langkah jangka sederhana untuk menangani insiden banjir kilat di Kuala Lumpur, DBKL menyelenggara 15 kolam takungan banjir terbuka serta sembilan kolam takungan tertutup bawah tanah.

"Semua kolam takungan banjir telah menjalani kerja pengorekan kelodak (desilting) mengikut keperluan semasa, dan jadual berkala penyelenggaraan longkang di tepi jalan turut dinaik taraf bagi mengurangkan risiko banjir kilat," katanya ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Batu Pahat, Onn Abu Bakar, mengenai tahap kesiapsiagaan Kuala Lumpur bagi persiapan kepengerusian ASEAN 2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026. Beliau turut menekankan bahawa isu banjir kilat yang belum diselesaikan boleh menjejaskan imej dan persiapan negara untuk acara-acara tersebut.

Tambah Dr. Zaliha, bagi langkah jangka panjang, sebanyak tujuh projek mitigasi banjir telah disiapkan pada tahun 2022-2023. Pada tahun ini, 14 lagi projek sedang dilaksanakan dan empat projek tambahan sedang dirancang menjelang tahun 2027.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD