KUALA LUMPUR, 30 Disember - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak pernah membangkitkan atau mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi menuduh bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin melakukan sebarang kesalahan.
Sebaliknya, siasatan SPRM terhadap Tun Daim berhubung dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram dibuat berdasarkan maklumat daripada Kertas Pandora yang dimulakan sejak Februari lalu.
"SPRM ingin memperbetulkan fakta berhubung kenyataan Tun Daim mengenai siasatan kes beliau yang telah menimbulkan kekeliruan dan salah faham kepada masyarakat umum.
"Satu Notis mengikut Seksyen 36(1)(a) Akta SPRM2009 (Akta 694) diserahkan kepada beliau supaya mengisytiharkan segala aset sama ada di dalam dan luar negara secara bertulis serta akuan bersumpah dalam tempoh 30 hari daripada tarikh notis pada 7 Jun lalu," menurut kenyataan itu hari ini.
Tambah kenyataan itu lagi, bekas menteri kewangan itu telah memohon lanjutan tempoh sebanyak lima kali dan diberikan lanjutan pada 6 Julai; 10 Ogos; 11 September; 11 Oktober dan terakhir pada 14 November lalu untuk mengisytiharkan segala aset miliknya.
"Sebagai sebahagian daripada proses siasatan SPRM, Pendakwa Raya mengeluarkan Notis Penyitaan Menara Ilham mengikut Seksyen 38 (1) Akta 694 (Penyitaan Harta Tak Alih) pada 18 Disember lalu.
"Tun Daim disiasat mengikut Seksyen 23 akta sama dan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA)," katanya.
Semalam media melaporkan, tokoh korporat itu menafikan beliau dan keluarganya terlibat dalam rasuah atau sebarang salah laku.
Dakwanya, siasatan terhadapnya bermotifkan politik kerana tidak dimaklumkan mengenai kesalahan yang dilakukanya.
SPRM menegaskan berdasarkan prinsip undang-undang 'anggapan tidak bersalah' (presumption of innocence), seseorang yang disiasat adalah dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan kesalahannya dan mempunyai peluang membersihkan nama sekiranya kes dibicarakan di mahkamah.
"SPRM merupakan sebuah Suruhanjaya bebas yang bertindak secara profesional mengikut undang-undang dan peraturan yang ditetapkan, serta dipantau oleh lima badan pemantau bebas," tambah kenyataan itu.
Media sebelum ini melaporkan SPRM telah menyita bangunan Menara Ilham dipercayai berkaitan kes penyelewengan dana negara berjumlah lebih RM2.3 bilion.
Notis penyitaan bangunan setinggi 60 tingkat itu bertarikh 18 Disember lalu ditandatangani Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Ahmad Akram Gharib.
Ia ditujukan kepada Pendaftar Hak Milik, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan.
Daim sebelum ini dilaporkan antara yang turut disiasat SPRM berkait transaksi korporat bernilai RM2.3 bilion pada November 1997 yang membabitkan dua buah syarikat, dua entiti yang juga bekas tonggak perniagaan dikaitkan dengan UMNO ketika parti itu mentadbir negara.
ARTIKEL BERKAITAN