fb fb fb fb fb

Kes demam denggi menurun pada ME41, satu kematian dilaporkan

Jumlah kes demam denggi menurun kepada 1,624 kes pada Minggu Epidemiologi ke-41 (ME41) bagi tempoh 6 Oktober hingga 12 Oktober / Foto Hiasan / Fail

PUTRAJAYA, 20 Oktober - Jumlah kes demam denggi menurun kepada 1,624 kes pada Minggu Epidemiologi ke-41 (ME41) iaitu bagi tempoh 6 Oktober hingga 12 Oktober, berbanding 1,639 kes dilaporkan pada minggu sebelumnya, dengan satu kematian akibat komplikasi denggi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan berkata kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan hingga ME41 ialah 106,773 kes, berbanding 94,181 kes bagi tempoh sama pada 2023.

“Terdapat 96 kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan berbanding 67 kematian bagi tempoh sama pada 2023,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata, bilangan lokaliti hotspot yang dilaporkan pada ME41 pula sebanyak 38 lokaliti, berbanding 35 lokaliti hotspot pada minggu sebelumnya.

Dr. Muhammad Radzi berkata daripada 38 lokaliti yang dilaporkan, 22 lokaliti di Selangor, Negeri Sembilan (5), Pulau Pinang (4), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (2), Sabah (2) serta masing-masing satu lokaliti di Pahang, Perak dan Kelantan.

Tambah Dr. Muhammad Radzi, bagi pengawasan chikungunya, terdapat dua kes direkodkan pada ME41 dan jumlah kumulatif kes chikungunya hingga kini ialah 80 kes.

Bagi pengawasan zika pula, beliau berkata sebanyak 2,125 sampel darah, 12 sampel urin serta tiga sampel cecair serebrospinal telah dijalankan saringan zika dan hasil kesemuanya adalah negatif.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN