MATA AYER, 19 Januari- Pemimpin setempat khususnya di peringkat Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) perlu menjalinkan kerjasama erat dengan pihak berkuasa dan agensi keselamatan negeri, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Jalinan kerjasama itu sangat penting bagi memastikan keselamatan masyarakat sentiasa terpelihara berikutan ketika ini pelbagai kes jenayah berlaku di peringkat komuniti setempat.
Menurut Penyelaras DUN Mata Ayer, Siti Berenee Yahaya, dengan kerjasama tersebut, secara tidak langsung pelbagai masalah jenayah di dalam kawasan komuniti dapat disalurkan dengan lebih mudah dan tindakan segera dapat diambil di peringkat balai mahupun Ibu Pejabat Polis Daerah.
"Komuniti perlu menyokong usaha seperti ini kerana PDRM perlukan maklumat dan kerjasama daripada masyarakat untuk mengekang jenayah daripada berlaku berikutan kebanyakan kes-kes jenayah berlaku disebabkan oleh kecuaian, sikap alpa dan tidak ambil peduli tentang suasana persekitaran.
"JPKKP juga perlu memainkan peranan masing-masing dalam meningkatkan kesedaran komuniti setempat supaya sentiasa mengutamakan aspek keselamatan dan bertanggungjawab serta cakna dengan perkembangan terkini," katanya.
Beliau memaklumkannya Program Khas IPD Arau Bersama JPKKP Kawasan Mata Ayer di Kampung Ngulang yang dihadiri oleh Timbalan Ketua Polis Daerah Arau, Timbalan Penguasa Polis (DSP) Mohd Fauzi Mohamad serta kepimpinan IPD Arau.
DSP Mohd Fauzi dalam taklimatnya kepada JPKKP menekankan mengenai kes-kes jenayah yang berlaku di kawasan IPD Arau termasuk kes lumba haram, pecah rumah serta jenayah komersial melibatkan scam yang merekodkan kerugian RM1.8 juta sepanjang tahun lalu.