
LA GUAIRA, 31 Julai – Pihak berkuasa Venezuela memulakan kerja-kerja merobohkan bangunan di negeri La Guaira, kawasan paling teruk terjejas akibat dua gempa bumi yang berlaku bulan lalu.
- Lebih 5,500 maut; 190 bangunan runtuh dan 856 lagi mengalami kerosakan menurut angka rasmi.
- Anggota tentera mengepung kawasan dan menggunakan bahan letupan merobohkan menara kediaman 12 tingkat yang condong.
- Kejadian gempa menyebabkan hampir 17,000 orang cedera; pasukan penyelamat masih meneruskan usaha mengorek runtuhan mencari mangsa.
- Kerajaan belum keluarkan bilangan hilang; pakar jangka angka mungkin mencecah 10,000, dan tiada perobohan jika mangsa belum ditemukan.
Berdasarkan angka rasmi, gempa bumi pada 24 Jun lepas mengorbankan lebih 5,500 orang dan menyebabkan 190 bangunan runtuh, manakala 856 lagi bangunan mengalami kerosakan.
Anggota tentera mengepung kawasan berkenaan sebelum menggunakan bahan letupan untuk merobohkan bangunan pertama yang rosak iaitu sebuah menara kediaman 12 tingkat yang sebahagiannya runtuh dan condong ke arah jalan raya.
Seorang suri rumah, Yenith Salcedo berkata, dia berasa amat ngeri ketika merasai gegaran daripada letupan tersebut.
“Saya masih berada di rumah ketika itu. Perasaan yang dirasai sukar digambarkan,” kata wanita berusia 66 tahun itu yang menerima mesej amaran melalui aplikasi WhatsApp komuniti sebelum letupan dilakukan.
Dua gempa bumi dalam masa selang beberapa saat itu turut menyebabkan hampir 17,000 orang cedera.
Setakat ini, kerajaan masih belum mengeluarkan jumlah mangsa yang hilang, namun pakar menjangkakan angkanya mungkin mencecah 10,000.
“Tiada sebarang struktur akan dirobohkan selagi masih terdapat mangsa yang belum ditemukan atau individu yang perlu diselamatkan,” kata Menteri Pengangkutan, Francisco Garcesdalam sidang media dua hari lalu.
Pasukan penyelamat bersama ahli keluarga mangsa masih meneruskan usaha mengorek runtuhan di La Guaira bagi mencari mangsa serta ahli keluarga yang masih belum dapat dikesan. – AFP