
PARIS, 31 Julai – Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) memberi amaran akan memboikot Piala Dunia sekiranya Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) meneruskan rancangan membawa masuk pelabur swasta.
- UEFA menegaskan Piala Dunia bukan untuk dijual dan menolak pemilikan swasta terhadap pertandingan serta tadbir urusnya.
- FIFA merancang anak syarikat komersial FFE yang membenarkan pelabur swasta memiliki pegangan minoriti dalam pengurusan acara.
- Inisiatif itu menawarkan pembiayaan besar termasuk pengumpulan sehingga AS$4.2 bilion dan bayaran sekali AS$20 juta kepada setiap ahli.
“Tiada skuad kebangsaan UEFA akan menyertai mana-mana pertandingan FIFA selagi cadangan ini masih diteruskan kecuali ia ditarik balik sepenuhnya dengan jaminan FIFA tidak akan lagi membuka pemilikan swasta dalam tadbir urus atau pertandingan mereka,” menurut UEFA dalam satu kenyataan.
“Piala Dunia tidak boleh dianggap sebagai produk pelaburan. Tiada bahagian harus diserahkan kepada pelabur swasta. Piala Dunia bukan untuk dijual, ” tegas badan induk bola sepak Eropah itu lagi.
FIFA pada Selasa mengumumkan rancangan untuk mewujudkan sebuah anak syarikat komersial bagi mengurus acara terbesar mereka seperti Piala Dunia dan Piala Dunia Kelab.
“Bawah cadangan itu, pelabur swasta akan dibenarkan memperoleh pegangan dalam syarikat berkenaan, namun kekal sebagai pemegang saham minoriti, ” menurut FIFA.
Badan induk bola sepak dunia itu berharap dapat mengumpulkan sehingga AS$4.2 bilion berdasarkan penilaian berjumlah AS$20 bilion bagi inisiatif FIFA Forward Enterprise (FFE).
Jika diluluskan, projek tersebut berpotensi memberikan setiap daripada 211 persatuan anggota FIFA bayaran sekali beri sebanyak AS$20 juta pada awal 2027, selain meningkatkan peruntukan pembiayaan bagi kitaran 2027-2030 daripada AS$8 juta kepada AS$20 juta.
Presiden FIFA, Gianni Infantino pada Rabu menyifatkan inisiatif itu sebagai peluang keemasan untuk mempercepatkan pembangunan bola sepak di seluruh dunia.”
Namun, Presiden UEFA, Aleksander Ceferin yang memboikot perlawanan akhir Piala Dunia sebagai tanda bantahan terhadap FIFA menegaskan, bahawa model itu tidak mempunyai tempat dalam bola sepak dunia. – AFP