CONCACAF tolak cadangan FIFA jual pegangan Piala Dunia

Foto fail

LOS ANGELES, 31 Julai – Kesemua 41 anggota Konfederasi Bola Sepak Amerika Utara, Tengah dan Caribbean (CONCACAF) sepakat menolak cadangan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) untuk menjual pegangan dan kepentingan dalam operasi komersial Piala Dunia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Menyuarakan kebimbangan tentang kekurangan proses sewajarnya, tempoh masa singkat dan ketiadaan semakan atau kelulusan badan tadbir urus FIFA.
  • Mempertikaikan keperluan pelaburan ekuiti swasta untuk FIFA Forward selepas Piala Dunia mencatat keuntungan paling tinggi.
  • Menuntut ketelusan lebih besar, tadbir urus betul, dan penggunaan rizab kewangan sedia ada untuk pembangunan bola sepak rantau.

CONCACAF menerusi kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat presiden bersama kesemua ahlinya bagaimanapun tidak menyokong cadangan untuk memboikot kejohanan berprestij itu sekiranya FIFA meneruskan rancangan melibatkan pelabur swasta.

“Dalam mesyuarat itu, anggota menyuarakan kebimbangan mendalam mengenai kekurangan proses sewajarnya berhubung cadangan tersebut, tempoh masa yang terlalu singkat diberikan, serta ketiadaan semakan atau kelulusan daripada badan tadbir urus FIFA yang berkaitan,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, CONCACAF turut mempersoalkan keperluan mendapatkan pelaburan ekuiti swasta bagi membiayai program baharu dan sedia ada FIFA Forward, selepas Piala Dunia FIFA yang lalu mencatatkan keuntungan paling tinggi dalam sejarah.

“Perbincangan itu mengukuhkan keperluan terhadap ketelusan yang lebih besar dan tadbir urus yang betul.

“Atas sebab-sebab ini, CONCACAF dan 41 persatuan anggotanya telah menolak cadangan tersebut.”

CONCACAF akan menggesa FIFA supaya menentukan bagaimana rizab kewangan besar sedia ada FIFA boleh digunakan untuk meningkatkan pembangunan bola sepak di seluruh rantau berkenaan.

Ia turut akan meminta Presiden FIFA, Gianni Infantino, memastikan setiap perkara melalui proses tadbir urus yang betul menerusi kakitangan dan Majlis FIFA, selaras dengan Statut FIFA.

‘Melalui tindakan ini, CONCACAF menegaskan semula bahawa masa depan bola sepak dan aset terbesarnya mesti kekal di tangan keluarga (lingkungan) bola sepak kita,” kata badan itu.

Badan induk bola sepak Amerika Syarikat turut menyatakan sokongan serupa menerusi media sosial. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.