KUALA LUMPUR, 7 Mac - Kerangka pendidikan tinggi di negara ini perlu diubah mengikut kehendak semasa seiring perubahan landskap pendidikan dunia.
Ini selari dengan dasar dan strategi pengantarabangsaan yang dibangunkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata kementerian amat menggalakkan semua institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS), politeknik serta kolej komuniti menjalin kerjasama dan persefahaman dengan institusi pendidikan tinggi serta pemain industri di luar negara.
"Mustahak untuk kita melihat kerangka pendidikan tinggi, yang berubah dengan pantas dan tidak lagi boleh berdasarkan kerangka yang lama. Oleh yang demikian seluruh dunia sedang berubah dan semua insitutsi pendidikan tinggi negara perlu mengadaptasi perubahan ini," katanya pada sidang media di bangunan Parlimen, di sini.
Terdahulu, Zambry menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman antara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan syarikat farmaseutikal dari Korea Jeil Pharmaceutical dalam usaha mengukuhkan lagi bidang farmaseutikal tempatan dan kajian perubatan universiti itu.