Kerangka Ekonomi MADANI, RKM13 inisatif atasi kos sara hidup

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 29 Julai – Kerangka Ekonomi MADANI dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) merupakan sebahagian inisiatif kerajaan bagi memastikan pertumbuhan pendapatan rakyat mengatasi peningkatan kos sara hidup.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan laksanakan strategi memacu pertumbuhan ekonomi berasaskan penciptaan nilai, meningkatkan produktiviti dan menarik pelaburan bernilai tinggi.
  • Fokus mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti dan berpendapatan tinggi melalui pelaburan dan peningkatan produktiviti tenaga kerja.
  • Memperkasa pasaran buruh dan memperluas perlindungan sosial saksama bagi menjaga kebajikan dan mengelakkan golongan tercicir.
  • Menyalurkan STR dan SARA, mengekalkan BUDI RON95, laksana BUDI Diesel bersasar dan memperkenal Dasar Gaji Progresif.

Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata, ke arah itu, kerajaan komited melaksanakan strategi yang berupaya memacu pertumbuhan ekonomi berteraskan penciptaan nilai.

Ia termasuk usaha meningkatkan produktiviti dan menarik pelaburan bernilai tinggi bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti dan berpendapatan tinggi.

“Kita menumpukan usaha untuk menjaga kebajikan rakyat dengan memperkasa pasaran buruh serta memperluas perlindungan sosial yang lebih saksama bagi memastikan tiada golongan yang tercicir.

“Kerajaan turut menyalurkan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), mengekalkan inisiatif BUDI RON95 pada harga RM1.99 seliter, melaksanakan Program BUDI Diesel Bersasar serta memperkenalkan Dasar Gaji Progresif bagi memastikan pertumbuhan gaji bergerak seiring dengan peningkatan produktiviti pekerja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan dikemukakan Senator Azahar Hassan pada persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen.

Senator Azahar Hassan meminta penjelasan mengenai selain mengawal inflasi, apakah langkah kerajaan bagi memastikan pertumbuhan isi rumah mengatasi kos sara hidup.

Datuk Mohd Shahar turut menjelaskan bahawa kerajaan tidak hanya bergantung kepada kadar inflasi semata-mata untuk menilai indeks kesejahteraan rakyat.

Sebaliknya, pelbagai indikator lain turut diberi penilaian termasuk data pendapatan isi rumah dan pasaran buruh bagi memberikan gambaran menyeluruh terhadap taraf hidup rakyat sekali gus, membantu kerajaan merangka dasar dan intervensi yang lebih tepat serta bersasar.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.