Kementerian Ekonomi perkukuh pembangunan statistik rasmi

Gambar hiasan RTM

KUALA LUMPUR, 29 Julai – Pembangunan statistik rasmi negara akan diperkukuh menerusi penghasilan indikator yang lebih terperinci bagi memberikan gambaran lebih tepat mengenai keadaan sebenar isi rumah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penilaian mengikut kumpulan pendapatan, lokasi dan demografi untuk menggambarkan pengalaman kos sara hidup isi rumah.
  • Dasar dan intervensi kos sara hidup dilaksanakan secara lebih bersasar dan berkesan berdasarkan keperluan sebenar rakyat.
  • IHP mengukur purata perubahan harga; pengalaman sebenar isi rumah dipengaruhi corak perbelanjaan, lokasi dan tahap pendapatan.

Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata langkah itu termasuk membuat penilaian berdasarkan kumpulan pendapatan, lokasi dan demografi bagi memberikan gambaran lebih tepat mengenai keadaan sebenar isi rumah.

Jelasnya, langkah itu penting bagi memastikan dasar dan intervensi kerajaan berkaitan kos sara hidup dapat dilaksanakan secara lebih bersasar serta berkesan, berdasarkan keperluan sebenar rakyat.

“Kadar inflasi keseluruhan yang terkawal tidak semestinya menggambarkan pengalaman kos sara hidup yang dirasai oleh semua isi rumah. Keadaan ini disebabkan Indeks Harga Pengguna (IHP) mengukur purata perubahan harga bagi bakul barangan dan perkhidmatan yang mewakili keseluruhan isi rumah di Malaysia,

“Manakala pengalaman sebenar setiap isi rumah dipengaruhi oleh corak perbelanjaan, lokasi tempat tinggal serta tahap pendapatan individu”, katanya demikian ketika menjawab soalan dikemukakan Senator Azahar
Hassan pada persidangan Dewan Negara disini.

Senator Azahar meminta penjelasan mengenai penilaian kementerian terhadap jurang antara data inflasi rasmi dengan pengalaman sebenar pengguna, serta perancangan membangunkan indeks kos sara hidup mengikut kumpulan pendapatan dan wilayah.

Mengulas lanjut, Mohd Shahar memaklumkan berdasarkan pencapaian Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi Jun 2026, kadar inflasi negara kekal terkawal pada 1.9 peratus berbanding 2.0 peratus pada Mei 2026.

Menurut beliau, kadar itu dipengaruhi terutamanya oleh pertumbuhan lebih perlahan dalam kumpulan pengangkutan yang merekodkan 2.8 peratus berbanding 3.8 peratus pada bulan sebelumnya, manakala kumpulan makanan dan minuman yang mempunyai wajaran terbesar kekal stabil pada 1.4 peratus.

Bagaimanapun, beliau menegaskan walaupun kadar inflasi rasmi merupakan petunjuk penting dalam menilai perubahan harga, indikator itu perlu dilihat bersama indikator lain bagi memberikan gambaran yang lebih menyeluruh.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.