fb fb fb fb fb

Kerajaan tingkat kecekapan sektor logistik, naik taraf lapangan terbang dan hab serantau

Foto Arkib

KUALA LUMPUR, 11 Oktober - Kerajaan terus memperkukuh kecekapan sektor logistik negara bagi memastikan aktiviti ekonomi bergerak lebih pantas, kos operasi lebih efisien dan memberi manfaat langsung kepada pelabur, industri serta rakyat.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat semalam berkata Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) telah memainkan peranan utama dalam usaha ini melalui pelbagai projek strategik yang meningkatkan kecekapan pengurusan dan kemudahan lapangan terbang di seluruh negara.

"Sebanyak RM2.3 bilion diperuntukkan bagi pembangunan lapangan terbang di Pulau Pinang, Kota Kinabalu, Tawau dan Miri, yang dijangka siap menjelang 2028. MAHB juga telah menyiapkan pembesaran Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah di Perak dan kini sedang melaksanakan pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Kota Bharu, Kelantan.Selain itu, Short Take-Off and Landing Port (STOLport) di Marudi dan Redang turut dinaik taraf dan dijangka siap pada 2027," jelasnya.

Dalam pada itu, bagi memperkukuh peranan KLIA sebagai hab antarabangsa, projek Inter-Terminal Transfer antara Terminal 1 dan Terminal 2 akan dilaksanakan bagi meningkatkan ketersambungan penumpang.

Dalam masa sama, Kerajaan Negeri Selangor bersama MAHB akan membangunkan Selangor Aero Park (SAP) di Sepang seluas 600 ekar sebagai hab logistik dan kargo serantau, menjadikan Malaysia antara pemain utama dalam industri penerbangan dan logistik Asia Tenggara.

NUR MOHD IQWAN BIN SAMSUDIN