fb fb fb fb fb

Kerajaan teliti mekanisme bayaran balik tiket konsert

Foto FB Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR, 20 Februari – Kerajaan sedang meneliti mekanisme sedia ada bagi bayaran balik tiket konsert yang dibatalkan serta hak pembeli tiket di bawah undang-undang perlindungan pengguna.

Perkara itu dibincangkan dalam pertemuan antara Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan Persatuan Penggiat Festival Antarabangsa (ALIFE) yang mewakili penganjur konsert serta syarikat jualan tiket utama.

Menerusi hantaran di Facebook, Fahmi memaklumkan pertemuan tersebut turut disertai oleh Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, Ketua Pengarah Bahagian Penguatkuasa, Datuk Azman Adam, serta Pengarah Seksyen Kawalan Harga dan Antipencatutan, Zubir Hamsa.

Menurutnya, selain ejen jualan tiket, pengguna juga boleh mendapatkan pampasan menerusi Tribunal Tuntutan Pengguna, di mana tribunal akan menilai serta menentukan kelayakan tuntutan.

Perbincangan itu diadakan bagi mengukuhkan komitmen kerajaan MADANI dalam melindungi hak pengguna serta memastikan mekanisme pampasan yang adil dan berkesan dapat dilaksanakan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN