Kerajaan pertahan cadangan verifikasi umur media sosial guna MyKad, eKYC

Datuk Fahmi Fadzil/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 20 Mei – Kerajaan mempertahankan cadangan penggunaan dokumen rasmi seperti MyKad dan sistem Kenali Pelanggan Anda Secara Elektronik (eKYC) bagi tujuan verifikasi umur pengguna media sosial bawah 16 tahun.

RINGKASAN BERITA AI
  • Langkah dianggap usaha memperkukuh keselamatan dalam talian untuk melindungi kanak-kanak daripada penyalahgunaan platform dan kandungan tidak sesuai.
  • Keselamatan serta perlindungan data peribadi menjadi keutamaan dalam pelaksanaan cadangan untuk memastikan maklumat pengguna terpelihara.
  • Kerajaan menegaskan maklumat dikendalikan dengan selamat dan tidak disalah guna oleh mana-mana pihak.
  • Akta Perlindungan Data Peribadi tetap terpakai dan tiada percanggahan dasar untuk kaedah pengesahan umur seperti sektor lain.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil menegaskan, langkah itu juga disifatkan sebagai usaha memperkukuh kawalan keselamatan dalam talian, khususnya bagi melindungi golongan bawah umur daripada risiko penyalahgunaan platform media sosial serta pendedahan kepada kandungan tidak sesuai.

Pada masa sama, aspek keselamatan serta perlindungan data peribadi kekal menjadi keutamaan dalam pelaksanaan cadangan berkenaan bagi memastikan maklumat pengguna terus terpelihara, dikendalikan secara selamat dan tidak disalah guna mana-mana pihak.

“Kita melihat tiada percanggahan dari segi dasar untuk melaksanakan pengesahan umur menggunakan dokumen rasmi kerajaan, kerana kaedah sama juga telah digunakan dalam beberapa sektor lain di negara ini.

“Dari sudut keselamatan data peribadi pula, sudah tentu Akta Perlindungan Data Peribadi tetap terpakai,” katanya ketika mengulas kebimbangan berhubung privasi pengguna susulan cadangan penggunaan MyKad atau eKYC bagi tujuan pengesahan umur di media sosial.

Beliau berkata demikian dalam sidang media mingguan pasca Mesyuarat Jemaah Menteri di Angkasapuri Kota Media di sini hari ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.