Kerajaan Persekutuan hormati institusi diraja Negeri Sembilan

Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Pelancaran Jentera Pilihan Raya PH Negeri Sembilan di Seremban/Foto BERNAMA

SEREMBAN, 13 Jun – Kerajaan Persekutuan tidak akan campur tangan dalam urusan melibatkan institusi diraja di Negeri Sembilan dan akan terus menghormati peruntukan undang-undang serta Perlembagaan negeri yang berkuat kuasa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sebarang perubahan berkaitan institusi diraja mesti dilaksanakan melalui saluran undang-undang yang ditetapkan.
  • Kerajaan akan terus akur dan mematuhi ketetapan sedia ada sehingga perubahan dibuat mengikut peruntukan undang-undang.
  • Anwar mengingatkan semua pihak supaya tidak menjadikan institusi diraja sebagai bahan pertikaian politik.
  • Perubahan mesti mengikut lunas Perlembagaan dan undang-undang untuk memastikan kestabilan serta keharmonian negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebarang perubahan berkaitan institusi berkenaan perlu dilaksanakan mengikut saluran yang ditetapkan serta tertakluk kepada undang-undang sedia ada.

Menurut beliau, kerajaan akan terus akur dan mematuhi segala ketetapan selagi tiada sebarang perubahan dibuat mengikut peruntukan undang-undang.

“Sebarang perubahan perlu dibuat mengikut peraturan dan Perlembagaan. Bagi Kerajaan Persekutuan, selagi tiada sebarang perubahan dibuat mengikut undang-undang yang berkuat kuasa, kita akan terus akur, patuh dan taat kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan,” katanya.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera PH bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, pada Jumaat.

Datuk Seri Anwar turut mengingatkan semua pihak supaya tidak menjadikan institusi diraja sebagai bahan pertikaian politik.

Katanya, sebarang perubahan perlu dilaksanakan mengikut lunas Perlembagaan dan undang-undang bagi memastikan kestabilan serta keharmonian terus terpelihara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.