
KUALA LUMPUR, 10 Februari – Lebih banyak surau di lebuh raya dan pusat beli-belah akan dinilai bagi pelaksanaan solat Jumaat.
- Kerajaan ambil pendekatan proaktif menilai surau sedia ada untuk pelaksanaan solat Jumaat tanpa bina masjid baharu.
- Inisiatif bertujuan meluaskan akses ibadah selesa, seperti kejayaan di R&R Seremban dan IOI City Mall.
- MAIWP memberikan sokongan kewangan menerusi bantuan Ihya’ Ramadan dan bantuan kepada penerima asnaf.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan menjelaskan pendekatan proaktif itu bertujuan memperluas akses ibadah tanpa perlu membina masjid atau surau baharu.
“Kita bukanlah bina masjid baharu atau surau baharu, cuma kita melihat kepada kapasiti dan sama ada mereka boleh melaksanakan solat Jumaat itu.
“Kerajaan Madani sangat proaktif, kita tidak hanya menunggu permohonan daripada surau, sebaliknya kita sendiri mencari surau yang boleh melaksanakan solat Jumaat bagi memberi akses ibadah yang selesa kepada umat Islam”, ujarnya.
Tambah beliau, kejayaan pelaksanaan solat Jumaat di beberapa lokasi termasuk R&R Seremban dan IOI City Mall membuktikan keberkesanan kaedah itu dalam menyediakan kemudahan ibadah yang selesa dan teratur.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Persidangan Pengurusan dan Penyampaian Bantuan Ihya’ Ramadan Masjid dan Surau serta Penyampaian Tauliah Amil Zakat Fitrah Wilayah Persekutuan 2026 di sini hari ini.
Majlis berkenaan menyaksikan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memperuntukkan sebanyak RM19.2 juta menerusi Bantuan Ihya’ Ramadan kepada 877 buah masjid dan surau di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
Selain itu, hampir RM18 juta turut disalurkan kepada kira-kira 34,000penerima asnaf bagi meringankan beban kewangan dalam menyambut Ramadan tahun ini.