
KUALA LUMPUR, 10 Februari – Pendekatan “whole of nation” antara kerajaan persekutuan dan negeri menjadi teras utama penguatkuasaan membendung penyeludupan sisa elektronik (e-waste) selepas rampasan mencecah jutaan ringgit di pintu masuk negara.
- Kerjasama kerajaan persekutuan dan negeri sebagai teras pendekatan whole of nation untuk penguatkuasaan e-waste.
- Perkongsian maklumat risikan antara AKPS, SPRM dan PBT penting untuk tindakan penguatkuasaan menyeluruh.
- Selangor dipilih negeri perintis; Akta Peniaga Barang-barang Terpakai 1946 akan diteliti untuk perkemasan undang-undang.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata kerjasama bersepadu amat penting memandangkan penguatkuasaan melibatkan dua peringkat iaitu kawalan di pelabuhan serta premis di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri.
“Kita meminta kerjasama kerajaan negeri kerana penguatkuasaan melibatkan dua peringkat, iaitu di pelabuhan dan di pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Bagi premis seperti kedai besi buruk, barangan lusuh dan logam skrap, kelulusan lesen di bawah bidang kuasa PBT kerajaan negeri, manakala penguatkuasaan melibatkan PDRM.
“Justeru pendekatan whole of nation yang melibatkan kerjasama kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan amat penting bagi memastikan penguatkuasaan dapat dilaksanakan dengan lancar dan berkesan,” katanya.
Beliau ditemui pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Perhubungan Antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Bilangan 1 Tahun 2026 di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.

Menurutnya, usaha penguatkuasaan diterajui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan pelaksanaan di lapangan oleh Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) melalui perkongsian maklumat risikan antara agensi persekutuan dan negeri.
Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata agensi itu akan memperluas penguatkuasaan melalui perkongsian maklumat dengan pihak berkuasa tempatan.
“Maklumat yang diperoleh di sempadan akan dikongsi dengan pihak kerajaan tempatan supaya tindakan dapat diambil secara lebih menyeluruh dan komprehensif.
“Ini strategi yang digariskan oleh KSN bagi melaksanakan pendekatan whole-of-nation,” katanya.
Setakat 30 Januari lalu, sebanyak 61 kontena diperiksa dengan kira-kira 200 tan sisa berkaitan serta 80 tan barangan bernilai tinggi dirampas, dianggarkan bernilai antara RM2.2 juta hingga RM3.2 juta.
Dalam perkembangan berkaitan, Selangor dipilih sebagai negeri perintis bagi profiling premis berkaitan e-waste sebelum tindakan pembersihan dan penambahbaikan penguatkuasaan dilaksanakan.
Kabinet turut mengarahkan Jabatan Peguam Negara meneliti semula Akta Peniaga Barang-barang Terpakai 1946 bagi memperkemas peruntukan undang-undang berkaitan pengurusan e-waste.