fb fb fb fb fb

Kerajaan Perak terus bantu dua beranak daif

Sebelum ini JKM meluluskan dua bentuk bantuan berjumlah RM900 sebulan kepada dua beranak itu.

IPOH, 18 Januari- Dua beranak yang hidup dalam serba kedaifan di sebuah rumah flat di Taman Silibin, Ipoh akan dibantu khususnya dalam penyelesaian tempat tinggal yang lebih selesa.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata Miram Kadir, 77 tahun akan ditempatkan di institusi kendalian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Manakala anaknya Erwan Dahari, 45 tahun pula akan terus tinggal di rumah tersebut, namun dalam keadaan kediaman yang telah dibersihkan.

"Kita juga menawarkan si anak untuk tinggal di Anjung Singgah JKM, tapi dia tak nak. Jadi kita tak mahu berkeras kita benarkan dia tinggal di sini tapi rumah ini kena dibersihkan dulu”, katanya ketika melawat kediaman dua beranak tersebut di sini.

Sebelum ini JKM meluluskan dua bentuk bantuan berjumlah RM900 sebulan kepada dua beranak itu iaitu Skim Bantuan Am Negeri berjumlah RM400 untuk Erwan serta Skim Bantuan Warga Emas RM500 kepada Miram.

Dalam perkembangan lain, Saarani turut memaklumkan satu mesyuarat khas dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri akan diadakan bagi membincangkan perkara tersebut.

Ini termasuk melihat kemungkinan terdapat kes sama berlaku di tempat lain.

"Tanggungjawab kerajaan negeri untuk melihat bagaimana rakyatnya berada dalam suasana perlu dibantu. Saya percaya bukan satu kes, kalau dah macam ni mungkin ada kes sama di tempat lain. Jadi kita akan melihat secara menyeluruh apa yang boleh dibantu untuk kes-kes sebegini," katanya.

Media sebelum ini melaporkan keluarga tersebut hidup dalam serba kedaifan di sebuah rumah flat yang dipenuhi sampah sarap dan takungan najis.

Artikel Berkaitan:
JKM salur bantuan segera kepada dua beranak hidup dalam sampah, najis di Ipoh

 

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM