
BARCELONA, 13 April– Kerajaan akan memantau secara rapi perkembangan misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 bagi memastikan keselamatan delegasi Malaysia terjamin sepanjang berada di zon berisiko.
- Datuk Seri Amirudin berkomunikasi dengan aktivis Malaysia yang memulakan pelayaran GSF 2.0 di Laut Mediterranean.
- Beliau menaiki kapal bagi meninjau pergerakan delegasi negara sejurus selepas pelepasan misi.
- Misi GSF 2.0 berlepas dari Barcelona ke Gaza, melibatkan lebih 80 kapal dan kira-kira 1,000 peserta dari lebih 70 negara.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata pemantauan berterusan itu penting bagi menjamin kelancaran perjalanan misi serta kebajikan peserta yang terlibat.
“Kita akan memantau keadaan dari semasa ke semasa, memastikan kelancaran dan keselamatan semua delegasi yang bersama dalam misi ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berkomunikasi dengan aktivis Malaysia yang telah memulakan pelayaran GSF 2.0 di Laut Mediterranean.
Terdahulu, Datuk Seri Amirudin turut menaiki sebuah kapal bagi meninjau pergerakan delegasi negara sejurus pelepasan misi berkenaan dilakukan.
Dalam pada itu, beliau turut memuji kecekalan aktivis Malaysia yang sanggup berdepan risiko demi menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.
“Sekali lagi kepada semua delegasi Malaysia, saya ucapkan tahniah daripada rakyat Malaysia atas pengorbanan ini.”
“Kita doakan perjalanan yang baru bermula ini akan lancar sehingga mencapai matlamat misi,” katanya.
GSF 2.0 memulakan pelayaran dari pelabuhan Barcelona menuju ke Gaza semalam, dengan disaksikan ribuan penyokong antarabangsa yang berhimpun di Moll de la Fusta.
Misi itu melibatkan lebih 80 kapal dan kira-kira 1,000 peserta dari lebih 70 negara.
Ia bertujuan memecahkan kepungan Israel ke atas Gaza dan memberi kesedaran masyarakat global terhadap penderitaan rakyat Palestin.