KUALA LUMPUR, 21 Julai – Kerajaan komited untuk menangani krisis kependudukan negara yang semakin membimbangkan dengan memberi tumpuan khusus kepada usaha membantu golongan muda membina keluarga dalam suasana yang stabil dan berdaya saing.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, Malaysia kini berada di ambang perubahan demografi besar apabila kadar kelahiran semakin menurun manakala populasi warga emas terus meningkat.
“Kadar Kesuburan Jumlah (TFR) negara kini adalah 1.7 anak bagi setiap wanita, jauh di bawah paras penggantian semula
penduduk iaitu 2.1.
"Lebih membimbangkan, data menunjukkan hanya 93,500 kelahiran direkodkan bagi suku pertama tahun 2025; menurun lebih 11 peratus berbanding tahun sebelumnya,” katanya dalam ucapan sempena Majlis Sambutan Hari Penduduk Sedunia 2025 yang disampaikan oleh Timbalannya, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad di sini hari ini.
Menurut beliau, penurunan kadar kelahiran dan peningkatan jangka hayat rakyat memberi implikasi besar terhadap sistem kesihatan, sosial dan ekonomi negara.
Tambahnya, keinginan generasi muda untuk berkahwin dan mempunyai anak masih tinggi, namun mereka terhalang oleh pelbagai cabaran termasuk kos sara hidup yang tinggi, gaji rendah, pinjaman pendidikan, harga rumah yang mahal dan kekurangan pusat penjagaan kanak-kanak.
“Ini bukan sekadar rungutan, tetapi realiti harian yang perlu kita tangani secara serius,” tegas beliau.
"Menurut Laporan Tabung Penduduk Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNFPA) hampir satu daripada lima orang dewasa di 14 negara menyatakan mereka mungkin tidak dapat memiliki bilangan anak yang mereka inginkan.
"Daripada jumlah ini, 39 peratus menyatakan kekangan kewangan sebagai halangan utama termasuklah kos sara hidup, penjagaan anak, perumahan dan ketidaktentuan pekerjaan.
"Maka, di sinilah letaknya tanggungjawab kita untuk mendengar, memahami dan bertindak,"katanya lagi.
Sehubungan itu, kerajaan kini giat melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menyokong pembentukan institusi kekeluargaan, termasuk menambah baik cuti bersalin dan paterniti secara lebih inklusif.
Selain menyediakan bantuan kewangan kepada keluarga berpendapatan rendah, memberi subsidi serta memperluas akses kepada Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA), menjalankan program pendidikan kesihatan reproduktif melalui PEKERTI, SMARTSTART dan Kafe@TEEN, menggubal Dasar Keluarga Negara, menubuhkan Pusat Subfertiliti Negara menjelang tahun 2029, serta melaksanakan Program Bantuan Rawatan Kesuburan dan Advokasi Infertiliti (BuAI) yang menyasarkan 30,000 pasangan menjelang akhir 2025.
“Kita mahu anak-anak muda membina keluarga dalam suasana yang stabil, disokong oleh dasar yang relevan dan dikelilingi oleh harapan, bukan kerisauan,” kata Datuk Seri Nancy.
Sempena Hari Penduduk Sedunia, satu forum bertajuk “Menangani Krisis Kependudukan” turut diadakan sebagai platform dialog dasar dan perkongsian kepakaran.
Majlis itu juga menyaksikan pelancaran laporan tahunan UNFPA bertajuk 'The Real Fertility Crisis: The Pursuit of Reproductive Agency in a Changing World'.
Datuk Seri Nancy turut memaklumkan bahawa satu sesi perbincangan pakar akan diadakan dalam masa terdekat bagi merangka pelan tindakan menyeluruh untuk menangani isu kesuburan rendah di Malaysia.
Buat pertama kalinya, sambutan Hari Penduduk Sedunia turut diperluaskan ke peringkat negeri sepanjang Julai dan Ogos menerusi program libat urus seperti forum dan seminar yang dijangka melibatkan lebih 5,000 peserta di seluruh negara dengan kerjasama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) negeri dan agensi tempatan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua rakan strategik dan agensi pelaksana atas kejayaan sambutan tahun ini, serta berharap segala inisiatif dan perbincangan dapat menyumbang kepada pembangunan dasar kependudukan negara yang mampan, inklusif dan berkesan dalam jangka masa panjang.