fb fb fb fb fb

Kerajaan kaji perluas skop perlindungan Seksyen 3 Akta 792

Datuk Seri Azalina Othman Said

KUALA LUMPUR, 8 Januari- Kerangka undang-undang sedia ada bagi menangani isu berkaitan eksploitasi seksual dalam talian terhadap kanak-kanak, sedang diperkukuh.

Langkah-langkah pengukuhan itu merujuk Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 [Akta 792], iaitu kesalahan berkaitan dengan bahan penganiayaan seksual kanak-kanak (Child Sexual Abuse Material, CSAM) dalam talian.

Dalam satu kenyataan media, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menjelaskan; ia melibatkan enam kategori kesalahan, dengan hukuman dan tempoh pemenjaraaan selama lima hingga 30 tahun serta sebatan.

Akta 792 juga memperuntuk lain-lain kesalahan seksual terhadap kanak-kanak dalam talian termasuk pengantunan kanak-kanak (child grooming), berkomunikasi secara seksual dengan kanak-kanak dan menyebabkan kanak-kanak memerhati atau mendengar bahan penganiayaan seksual kanak-kanak.

Kenyataan itu turut menyebut, mana-mana warganegara Malaysia yang melakukan kesalahan terhadap seorang kanak-kanak di luar Malaysia boleh dianggap melakukan kesalahan tersebut di dalam Malaysia, mengikut seksyen 3 Akta 792; mengambilkira isu tersebut kini merentasi sempadan.

Peruntukan berkenaan membolehkan tindakan undang-undang diambil terhadap warganegara Malaysia yang melakukan kesalahan seumpamanya di luar negara.

Ketika ini, kajian sewajarnya bagi meluaskan skop perlindungan undang-undang berkaitan sedang dilaksana, merangkumi situasi kesalahan melibatkan eksploitasi seksual kanak-kanak Malaysia oleh mana-mana individu di luar Malaysia.

Tujuannya, untuk memberi perlindungan yang lebih baik kepada mangsa kanak-kanak warganegara Malaysia, tanpa mengira lokasi geografi pelaku.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE