KUALA LUMPUR, 2 September - Kerajaan tidak pernah gagal menunaikan obligasi pembayaran balik hutang dan faedah tepat pada masanya, sambil memastikan paras hutang negara kekal di bawah had statutori yang ditetapkan undang-undang berkaitan.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, sehingga Jun 2025 instrumen hutang utama iaitu Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS), Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) dan Bil Perbendaharaan Islam Malaysia (MITB) berada pada paras 62.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Sekaligus kekal berada di bawah had 65 peratus yang ditetapkan.
"Pinjaman luar pesisir pula berjumlah RM22 bilion kekal di bawah paras RM35 bilion yang dibenarkan, manakala Bil Perbendaharaan Malaysia (MTB) berjumlah RM2 bilion, juga jauh lebih rendah daripada had RM10 bilion," katanya ketika sesi penggulungan perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Negara, hari ini.
Beliau menjawab kenyataan yang dibangkitkan Senator Datuk C. Sivaraj dan Senator Robert Lau Hui Yew mengenai pengurusan hutang negara.
Menurut Amir Hamzah, kerajaan akan terus menambah baik pengurusan hutang dan mencapai kemampanan hutang dalam jangka masa sederhana dan panjang.
Ia seiring dengan sasaran nisbah hutang ditetapkan dalam Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal (FRA) 2023 iaitu tidak melebihi 60 peratus dalam tempoh jangka sederhana.