VIENTIANE, 22 November- Malaysia berhasrat menyediakan platform serta ruang perbincangan pertahanan yang konstruktif, terbuka dan progresif sepanjang tempoh kepengerusian ASEAN tahun depan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata usaha itu bagi memastikan kesiapsiagaan ASEAN dalam mendepani cabaran geopolitik, keselamatan dan pertahanan yang lebih mencabar di peringkat global.
"Selaku Pengerusi ASEAN, Malaysia bertekad untuk melaksanakan tanggungjawabnya dengan lebih efektif, sekaligus memelihara kestabilan dan keselamatan serantau," katanya dalam satu kenyataan.
Datuk Seri Mohamed Khaled berkata dengan tema "ASEAN Unity for Security and Prosperity", Malaysia bertekad untuk meneruskan segala pencapaian yang membawa pertubuhan serantau itu ke tahap yang lebih tinggi.
Ia sekali gus membawa manfaat kepada setiap komuniti negara-negara anggota dan kesejahteraan rantau ini.
Beliau kini berada di Vientiane, ibu negara Laos itu bagi menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) Ke-18 dan ADMM-Plus Ke-11 di Vientiane, Laos yang berakhir semalam.
Pada akhir mesyuarat itu, Laos turut menyerahkan kepengerusian ADMM dan ADMM-Plus kepada Malaysia yang disaksikan ketua delegasi setiap negara.
"Tahun 2025 menjadi tahun yang begitu bermakna buat Malaysia. Bukan sahaja kerana Malaysia akan mempengerusikan ASEAN, bahkan ia merupakan ulang tahun ke-10 penubuhan Komuniti ASEAN dan Malaysia akan melancarkan Visi Komuniti ASEAN 2045," katanya.
Malaysia telah memegang tampuk kepengerusian ASEAN pada tahun 1977, 1997, 2005, dan 2015, yang menyaksikan peranan penting yang dimainkan Malaysia dalam memperkukuh kerjasama serantau dan mempertingkatkan integrasi ekonomi ASEAN.