
KUALA LUMPUR, 13 Julai – Pembentukan kerangka kawal selia yang berdaya tahan bagi mengimbangi keselamatan, kebebasan dan inovasi digital akan menjadi fokus Persidangan Kawal Selia Antarabangsa 2026 (IRC 2026) pada 21 dan 22 Julai ini.
- MCMC menganjurkan IRC 2026, menghimpunkan pengawal selia, pemimpin industri dan pakar komunikasi, multimedia serta teknologi.
- Empat fokus utama: hubungan teknologi-regulasi, media sosial, privasi data dan tadbir urus digital.
- Perbincangan menekankan imbangan kebebasan bersuara, keselamatan, tanggungjawab sosial, perlindungan data, dan kerjasama serantau untuk inovasi industri termasuk penjagaan kesihatan digital.
Persidangan anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) di ibu negara itu akan menghimpunkan pengawal selia, pemimpin industri serta pakar dalam bidang komunikasi, multimedia dan teknologi.
Bertemakan “Membentuk Era Digital Seterusnya: Kawal Selia, Daya Tahan dan Kepercayaan”, IRC 2026 akan dirasmikan Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.
“Persidangan yang dianjurkan sejak 2024 itu bertujuan memperkukuh peranan MCMC dalam perbincangan kawal selia antarabangsa, selain meletakkan Malaysia sebagai peneraju perbincangan dasar telekomunikasi global,” menurut laman sesawang rasmi IRC 2026.
Empat bidang utama yang akan diketengahkan ialah hubungan antara teknologi dengan regulasi, media sosial, privasi data dan tadbir urus digital.
Perbincangan antaranya akan meneliti pendekatan mengimbangi kebebasan bersuara, keselamatan negara dan tanggungjawab sosial serta usaha melindungi data dan pengguna tanpa mengekang inovasi ekonomi digital.
“Antara sesi utama ialah “Keselamatan Dalam Talian Melalui Reka Bentuk” yang dikendalikan Timbalan Pengarah Urusan Pembangunan MCMC, Eneng Faridah Iskandar dan “Data Berdaulat, Rakyat Diperkasa” oleh Pengarah Urusan MCMC, Abdul Karim Fakir Ali,” menurut laman sesawang itu lagi.
Persidangan turut memberi perhatian kepada kerjasama serantau dan global dalam menghadapi cabaran digital serta transformasi industri melalui inovasi, termasuk dalam penjagaan kesihatan digital.