
KUALA LUMPUR, 13 Julai – Landskap industri radio akan dikaji dalam penelitian Dasar Penyiaran Negara bagi memperkukuh ekosistem penyiaran negara.
- MCMC akan laksanakan kajian selari Dasar Industri Kreatif Negara dan agenda Majlis Ekonomi Jingga.
- Sesi libat urus bersama pengurusan dan pemain radio untuk peroleh pandangan, kenal pasti cabaran serta teliti cadangan.
- Fokus kepada peningkatan kandungan muzik tempatan, model pelesenan, kelangsungan industri dan penyesuaian kepada landskap digital.
Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata kajian itu akan dilaksana Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), selari dengan Dasar Industri Kreatif Negara dan agenda Majlis Ekonomi Jingga.
Jelasnya, perkara itu antara yang dibincangkan dalam sesi libat urus bersama pihak pengurusan serta pemain industri radio tempatan.
“Sesi ini membuka ruang untuk mendapatkan pandangan, mengenal pasti cabaran dan meneliti cadangan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Jelasnya lagi, perbincangan turut menyentuh usaha meningkatkan kandungan muzik tempatan, model pelesenan dan kelangsungan industri radio, selain kaedah memastikan sektor berkenaan terus berkembang dalam landskap digital yang semakin pesat.
“Kerajaan akan terus bekerjasama rapat dengan pemain industri bagi memastikan radio tempatan kekal relevan, berdaya saing dan menjadi medium yang dekat di hati rakyat,” katanya.