Johor hab pelaburan, pembangunan strategik perlu kekal diberi tumpuan

Pakar Perang Saraf dan Penganalisis Keselamatan dan Politik, Dr Noor Nirwandy Mat Noordin / Foto RTM

ANGKASAPURI KOTA MEDIA, 14 Julai – Penjenamaan Johor sebagai hab pelaburan dan pembangunan strategik perlu kekal diberi tumpuan bagi meningkatkan daya saing negeri itu di peringkat serantau dan antarabangsa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan memastikan projek berimpak tinggi memberi manfaat kepada rakyat dan meningkatkan keyakinan pelabur.
  • Johor perlu manfaatkan kelebihan ruang dan bekalan elektrik stabil untuk menarik pelaburan dalam semikonduktor dan kecerdasan buatan.
  • Setiap projek berimpak tinggi mesti disertai pelan pelaksanaan jelas supaya manfaat dinikmati rakyat tanpa mengira lokaliti dan latar belakang.
  • Perkukuh inovasi, pembangunan modal insan dan kerjasama rentas agensi, serta sokong kestabilan politik untuk menarik pelaburan asing dan dasar konsisten.

Pakar Perang Saraf dan Penganalisis Keselamatan dan Politik, Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, usaha tersebut memerlukan kerjasama erat antara Kerajaan Negeri Johor dan Kerajaan Persekutuan, bagi memastikan setiap projek berimpak tinggi memberi manfaat kepada rakyat, sekali gus meningkatkan keyakinan pelabur serta merancakkan ekonomi negeri.

“Johor mempunyai kelebihan tersendiri dalam pembangunan industri semikonduktor dan kecerdasan buatan kerana sektor ini memerlukan dua elemen iaitu ruang mencukupi serta, bekalan tenaga elektrik yang stabil. Kedua-dua kelebihan itu sukar diperoleh di Singapura namun tersedia di Johor.

“Potensi ini berupaya menarik lebih banyak pelaburan dan mewujudkan peluang pekerjaan namun manfaatnya perlu diterjemahkan kepada rakyat,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, setiap projek pembangunan berimpak tinggi perlu disertai pelan pelaksanaan yang jelas agar manfaatnya dapat dinikmati rakyat tanpa mengira lokaliti dan latar belakang.

Selain itu, menurut Dr Noor Nirwandy, Kerajaan Negeri Johor perlu terus memperkukuh aspek inovasi, pembangunan modal insan dan kerjasama rentas agensi bagi memastikan Johor kekal sebagai antara pemacu utama ekonomi negara.

“Usaha ini bukan sahaja mampu meningkatkan imej Johor di mata pelabur, malah mewujudkan pembangunan lebih mampan serta memberi manfaat kepada rakyat dalam tempoh jangka panjang,” ujar beliau.

Sementara itu, beliau berkata kestabilan politik turut memainkan peranan penting dalam menarik pelaburan asing kerana pelabur memerlukan dasar yang jelas, serta pentadbiran yang konsisten.

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.