Kementerian Komunikasi perkasa kawal selia e-dagang, bendung penjualan barang terlarang

Datuk Seri Fahmi Fadzil/Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 8 September – Usaha memperkukuh kawal selia e-dagang dan membendung penjualan barang terlarang terus dilakukan Kementerian Komunikasi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kementerian Komunikasi sedia bekerjasama dengan KDN, KPDN, PDRM dan agensi berkaitan untuk kawal selia dan tindakan bersama.
  • Terdapat kelompangan dalam ekosistem e-dagang kerana platform masih belum dilesenkan; perlukan penelitian dan tindakan dasar.
  • MCMC mengadakan pertemuan dengan platform utama; platform perlu atasi akaun palsu dan penjualan produk terlarang, bukan sekadar buang kata kunci.

Menterinya, Datuk Seri Fahmi Fadzil menyatakan kesediaan untuk terus bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Polis Diraja Malaysia serta agensi berkaitan.

Jelas beliau, kerjasama itu penting memandangkan masih terdapat kelompangan dalam ekosistem e-dagang negara, khususnya apabila platform e-dagang pada masa ini belum tertakluk kepada pelesenan.

“Memang ada kelompangan dalam sistem e-dagang. Pada masa ini, e-dagang belum lagi dilesenkan, jadi kita perlu meneliti perkara ini,” katanya.

Beliau ditemui media di luar acara Huawei WAIC Connect Malaysia 2026 Symposium di sini.

Dalam perkembangan berkaitan, menyentuh mengenai isu penjualan barangan terlarang di platform e-dagang, Datuk Seri Fahmi berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengadakan pertemuan dengan sebuah platform utama semalam.

Bagaimanapun, pihaknya masih belum menerima perkembangan mengenai hasil pertemuan itu setakat pagi tadi.

“Platform berkenaan perlu menangani isu pembukaan akaun palsu dan penjualan produk terlarang, bukannya sekadar membuang kata kunci carian yang boleh menyebabkan produk berkenaan lebih sukar ditemui tanpa menyelesaikan masalah sebenar,” tegasnya lagi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.