
KUALA LUMPUR, 8 September – Proses peralihan daripada Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) kepada kerangka perundangan baharu perlu dilaksanakan secara teratur tanpa menjejaskan operasi dan tadbir urus universiti.
- Membangunkan pangkalan data dan Indeks Mobiliti Pendidikan Nasional untuk mengenal pasti jurang, mengukur kemajuan dan memastikan intervensi berasaskan bukti.
- Melaksanakan intervensi awal dan bersasar untuk kanak-kanak serta pelajar B40 dan M40: makanan percuma, penguasaan 3M, peranti, bimbingan akademik, sokongan psikososial.
- Memperkasa Universiti Teknologi MARA sebagai khazanah strategik anak bangsa melalui pelan rasionalisasi memperluas akses dan membangunkan potensi bumiputera.
- Perkukuh laluan mobiliti pendidikan dan sosial: tingkatkan kualiti sekolah, kompetensi guru, pembangunan bakat STEM dan TVET serta laluan jelas ke pendidikan tinggi dan pekerjaan.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir ketika menegaskan perkara itu, berkata kerangka baharu berkenaan juga perlu mengutamakan pembentukan mahasiswa yang bukan sekadar cemerlang dari segi akademik, tetapi matang dari segi sahsiah dan moral.
“Kerangka baharu ini hendaklah mengutamakan pembentukan mahasiswa yang unggul dari segi otak dan watak berteraskan prinsip bahawa setiap kebebasan mesti disertai tanggungjawab, adab dan akauntabiliti,” katanya ketika membentangkan resolusi pendidikan pada Konvensyen Pendidikan Melayu 2026, di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC).
Ini antara tujuh resolusi yang diluluskan dalam konvensyen berkenaan untuk dikemukakan kepada kerajaan, termasuk cadangan membangunkan pangkalan data dan Indeks Mobiliti Pendidikan Nasional bagi mengenal pasti jurang, mengukur kemajuan dan memastikan intervensi dilaksanakan secara tepat dan berasaskan bukti.
Selain itu, konvensyen juga bersetuju agar intervensi awal dan bersasar dilaksanakan bagi menyediakan sokongan menyeluruh kepada kanak-kanak serta pelajar daripada keluarga B40 dan M40 yang rentan, merangkumi penyediaan makanan percuma, penguasaan kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M), peranti digital, bimbingan akademik serta sokongan psikososial.
Sementara itu, dalam usaha memperkukuh agenda pendidikan bumiputera, Universiti Teknologi MARA (UiTM) dicadangkan terus diperkasa sebagai khazanah strategik anak bangsa yang terus memperluas akses, membangunkan potensi dan melahirkan modal insan bumiputera melalui pelan rasionalisasi yang sedang dirangka.
Turut diluluskan, resolusi pembangunan laluan mobiliti pendidikan dan sosial bersepadu dengan memperkukuh kualiti sekolah, kompetensi guru serta pembangunan bakat dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), di samping menyediakan laluan yang lebih jelas dari sekolah ke pendidikan tinggi, latihan kemahiran dan pekerjaan.
Dua lagi resolusi melibatkan perancangan Agenda Perubahan Minda Bumiputera yang memfokuskan kesediaan untuk memikul tanggungjawab membasmi kemiskinan dan menangani isu tekanan.
Serta, memanfaatkan alumni UiTM kembai menyumbang dengan menggembleng kekuatan lebih sejuta alumni UiTM sebagai jaringan kepakaran, keusahawanan, kerjaya dan pelaburan untuk mempercepat kemajuan generasi bumiputera seterusnya.