
KUALA LUMPUR, 8 September – Sambutan Keretapi Sarong 2026 (KS26) kembali memeriahkan Hari Malaysia pada 16 September ini, dengan penganjuran serentak di 10 bandar di seluruh negara, sempena ulang tahun ke-10 acara berkenaan.
- Bermula sebagai flash mob budaya kecil di Kuala Lumpur, Keretapi Sarong kini berkembang menjadi acara budaya popular dan mendapat sambutan menggalakkan.
- Padang Besar, Langkawi dan Kuching diperkenalkan sebagai wajah baharu, membawa sambutan ke sempadan, pulau dan merentas Laut China Selatan.
- Pengasas menegaskan acara menjadi simbol tradisi dan warisan yang dikongsi bersama rakyat Malaysia.
- KS26 memperkenalkan lagu rasmi 'Joget Sarong' mengangkat kepelbagaian budaya; butiran lokasi dan program akan diumumkan secara berperingkat.
Pengasas Bersama LOCCO, Shamsul Bahrine Zainuzzaman berkata, Keretapi Sarong yang bermula sebagai acara flash mob budaya berskala kecil di Kuala Lumpur, kini berkembang sebagai antara sambutan Hari Malaysia yang mendapat sambutan menggalakkan.
“Padang Besar, Langkawi dan Kuching menjadi tiga wajah baharu dalam keluarga Keretapi Sarong.
“Padang Besar membuka lembaran baharu di pintu sempadan utara negara. Langkawi membuktikan semangat Keretapi Sarong tidak terikat pada landasan semata-mata, manakala Kuching pula membawa gerakan ini merentas Laut China Selatan, mendekatkan sambutan kepada semangat sebenar Hari Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di sini hari ini.
Tambah Shamsul Bahrine, ulang tahun ke-10 itu bukan sekadar meraikan perjalanan penganjuran Keretapi Sarong, sebaliknya menjadi simbol tradisi dan warisan yang dikongsi bersama-sama rakyat Malaysia.
Buat julung kalinya, KS26 turut memperkenalkan lagu rasmi berjudul “Joget Sarong”, yang mengangkat kepelbagaian budaya serta semangat kebersamaan rakyat Malaysia.
Maklumat lanjut mengenai lokasi pertemuan, waktu berkumpul dan pengisian program akan diumumkan secara berperingkat menerusi saluran rasmi LOCCO dan Keretapi Sarong.