
PETALING JAYA, 15 Ogos – Kos penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang tinggi, antara perkara yang diberi perhatian oleh kerajaan dalam usaha memperluas penerimagunaan teknologi berkenaan, termasuk dalam kalangan perniagaan.
- Kerajaan meneliti pemberian insentif dalam Belanjawan 2027 untuk menggalakkan perniagaan menggunakan teknologi AI.
- Usaha memperluas penerimaan AI perlu disokong oleh infrastruktur serta kepakaran yang mencukupi.
- AI Malaysia Bhd memerlukan dana besar untuk menghimpunkan kepakaran dan membangunkan infrastruktur menyokong penggunaan AI.
- Kerajaan memberi perhatian kepada peranan teknologi baharu membantu PKS dan PMKS; inisiatif masih dalam perbincangan.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, kerajaan sedang meneliti pendekatan yang bersesuaian termasuk pemberian insentif dalam Belanjawan 2027 bagi menggalakkan lebih banyak perniagaan menggunakan peralatan AI.
“Jadi, dalam perbincangan ini kita perlu lihat bagaimana kerajaan dapat memastikan kos penggunaan ‘AI tools’ ini dapat dikurangkan, ataupun menyediakan insentif yang dapat menggalakkan penggunaannya bagi membantu perniagaan dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri acara tahunan PJ Startup Festival 2026, di sini.
Menurut beliau, usaha memperluas penggunaan AI perlu disokong dengan keupayaan infrastruktur serta kepakaran yang mencukupi.
Sehubungan itu, AI Malaysia Bhd yang dilancarkan kira-kira tiga minggu lalu memerlukan dana yang besar bagi menghimpunkan kepakaran diperlukan, selain membangunkan infrastruktur yang mampu menyokong penggunaan AI dalam pelbagai sektor negara.
Usaha itu selari dengan aspirasi Malaysia untuk menjadi negara AI menjelang 2030.
Pada masa sama, kerajaan turut memberi perhatian kepada potensi teknologi baharu dalam membantu perniagaan kecil, khususnya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).
“Secara keseluruhan, kita kena lihat bagaimana teknologi baharu dapat membantu perniagaan-perniagaan kecil, khususnya SME dan MSME kita.
“Itu adalah satu perkara yang saya akan beri perhatian, tetapi masih dalam perbincangan dan terlalu awal untuk saya sebut secara terperinci.
“Harap-harap bila kita sampai ke hari itu, dapatlah kita dengar beberapa inisiatif yang dapat membantu dalam aspek yang saya sebut tadi,” tambahnya.
Sementara itu, PJ Startup Festival 2026 yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini menampilkan kira-kira 100 reruai dengan jangkaan kehadiran lebih 2,000 pengunjung.
Acara berkenaan menjadi platform memperkukuh ekosistem syarikat pemula niaga, selain membuka ruang kepada pengasas ‘startup’, peneraju industri dan pelabur untuk membina kerjasama serta meneroka peluang perniagaan.