
ALOR SETAR, 15 Ogos – Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menjadi kerabat diraja pertama yang menamatkan Kursus Asas Penerbangan Helikopter di Kolej Tentera Udara, Alor Setar.
- Baginda menerima Sayap Penerbangan TUDM selepas menamatkan kursus bersama 40 graduan Angkatan Tentera Malaysia.
- Sayap Penerbangan dikurniakan oleh Sultan Pahang pada Istiadat Perbarisan Pengurniaan di Kolej Tentera Udara.
- Menjalani latihan dari 2 Jun hingga 31 Julai menggunakan helikopter EC120B Colibri dan menamatkan BHT, IFT, FNT serta FHT.
Baginda menerima Sayap Penerbangan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) selepas berjaya menamatkan kursus berkenaan dengan cemerlang, bersama 40 graduan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang terdiri daripada 38 Juruterbang Muda dan dua Jurusensor Senjata-Pejuang.
Sayap Penerbangan itu dikurniakan oleh Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang juga Kolonel Yang Dipertua Tentera Udara Malaysia (TUDM), pada Istiadat Perbarisan Pengurniaan Sayap Penerbangan di Kolej Tentera Udara, disini hari ini.
Tengku Hassanal menjalani kursus berkenaan dari 2 Jun hingga 31 Julai lalu menggunakan helikopter EC120B Colibri.
Sepanjang latihan, baginda berjaya menyempurnakan beberapa penilaian penerbangan termasuk Basic Handling Test (BHT), Instrument Flying Test (IFT), Final Navigation Test (FNT) dan Final Handling Test (FHT).
Kejayaan menamatkan keseluruhan latihan itu melayakkan baginda dikurniakan Sayap Penerbangan TUDM.
Hadir sama Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Muhamad Norazlan Aris dan Timbalan Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Datuk Sri Nur Hafis Abdul Karim.
Sementara itu, Leftenan Ahmad Faiz Roslan dipilih sebagai Graduan Terbaik Keseluruhan Sayap Putar dan menerima Piala Panglima Tentera Udara.
Manakala Leftenan Safwan Lukman Miswanto dipilih sebagai Graduan Terbaik Keseluruhan Sayap Kaku serta menerima Piala Panglima Tentera Udara.