
SEPANG, 15 Ogos – Sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Putrajaya, 31 Ogos ini bakal mengetengahkan tiga elemen dengan menampilkan tarikan baharu kepada para pengunjung.
- Latihan telah bermula di pelbagai peringkat dan lokasi; petugas kementerian siap siaga minggu terakhir sebelum sambutan.
- Jemputan hadir ke Dataran Putrajaya terutama semasa raptai penuh pada 29 Ogos.
- 21 Ogos tarikh penting untuk serah terima lokasi bersama Perbadanan Putrajaya.
- Kerajaan menerima tajaan RM48.63 juta daripada sektor korporat bagi menjayakan sambutan.
Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah ketika memaklumkan perkara itu menyatakan, elemen berkenaan masih lagi ‘rahsia’ dan tahap persiapan juga telah mencapai 80 peratus.
“Latihan telah bermula di pelbagai peringkat dan lokasi tertentu, manakala petugas kementerian pula akan berada di lapangan pada minggu terakhir sebelum sambutan.
“Masih lagi rahsia apa yang menarik. Saya jemput untuk masing-masing datang ke Dataran Putrajaya khususnya semasa raptai penuh pada 29 Ogos,” katanya selepas Sambutan Hari Orang Asal Kampung Orang Asli Jambu, Kelinsing dan Bakok serta Program Kibar Jalur Gemilang Kesejahteraan Dinikmati di Dewan Terbuka Kampung Angkat MADANI Kementerian Komunikasi.
Beliau dalam pada itu, turut menyatakan 21 Ogos ini merupakan tarikh penting bagi persiapan sambutan berkenaan dengan serah terima lokasi bakal disempurnakan bersama dengan Perbadanan Putrajaya.
Kerajaan juga katanya telah menerima tajaan berjumlah RM48.63 juta menerusi penglibatan aktif sektor korporat, bagi menjayakan sambutan Hari Kebangsaan.