Warisan dan budaya Orang Asli dipelihara, dijiwai generasi muda

Komuniti Orang Asli sebahagian penting sejarah Malaysia 

SEPANG, 15 Ogos – Warisan serta budaya masyarakat Orang Asli perlu terus dihargai, dipelihara serta diwariskan kepada generasi muda.

RINGKASAN BERITA AI
  • Warisan dan budaya Orang Asli perlu dipelihara dan diwariskan agar generasi muda membesar dengan bangga akan identiti unik mereka.
  • Perpaduan komuniti, penghormatan kepada orang tua dan kerjasama dengan kerajaan kukuhkan pembangunan serta kelangsungan tradisi.
  • Masyarakat diingatkan berjaga-jaga terhadap penipuan dalam talian dan menggunakan internet secara selamat.

Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah berkata komuniti berkenaan sebahagian penting sejarah Malaysia.

“Warisan Orang Asli ialah warisan Malaysia. Budaya Orang Asli ialah budaya Malaysia. Kisah masyarakat Orang Asli ialah sebahagian daripada kisah Malaysia.

“Jangan sampai anak-anak kita mengenali budaya sendiri hanya melalui buku sejarah. Biarlah mereka membesar dengan bangga bahawa mereka memiliki bahasa, adat, seni, tradisi, cerita dan identiti yang unik dan berbilang,”katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Orang Asal Kampung Orang Asli Jambu, Kelinsing dan Bakok di Dewan Terbuka Kampung Angkat MADANI Kementerian Komunikasi.

Pada majlis itu, Datuk Abdul Halim merasmikan logo komuniti Kampung Orang Asli Jambu, Kelinsing dan Bakok, selain menyerahkan Jalur Gemilang kepada penduduk setempat bagi menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 bertepatan dengan inisiatif 1 Rumah 1 Jalur Gemilang.

Beliau turut menyeru masyarakat agar sentiasa mengeratkan ukhuwah dan mengukuhkan perpaduan antara komuniti.

“Kekuatan sebenar terletak pada hubungan sesama manusia. Jika jiran saling membantu, kampung akan kuat. Jika anak muda menghormati orang tua, warisan akan terus terpelihara.

“Jika masyarakat dan kerajaan bekerjasama, pembangunan akan menjadi lebih pantas. Dan jika semua rakyat bersatu hati, Malaysia akan terus maju, aman dan sejahtera,”akuinya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan masyarakat agar sentiasa berwaspada dengan ancaman penipuan dalam talian serta menggunakan internet dengan selamat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.